Khamis, 28 Mei 2015

NOVEL SANDERA

                                                          

1.0       PENGARANG NOVEL
Novel “Sandera” merupakan sebuah novel yang berkisarkan sebuah perjuangan. Novel ini ditulis oleh sasterawan negara iaitu Arena Wati. Arena Wati atau nama sebenarnya Muhammad Dahlan Bin Abdul Biang (nama di Malaysia) atau Andi Mohalan Bin Andi Biang (nama di Indonesia) merupakan seorang sasterawan yang dilahirkan pada 30 Julai 1925. Beliau juga menggunakan nama pena lain iaitu Duta Muda dan Patria.Arena Wati  dan berasal daripada Kabupaten Jeneponto Makassar, Indonesia. Arena Wati memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943 dan pengalaman beliau inilah yang digunakan untuk memulakan kerjaya sebagai seorang penulis serta menghasilkan novel untuk bacaan umum.
            Selepas tamat pengajian, Arena Wati bekerja di sebuah syarikat penerbitan di Singapura, Johor Bharu dan Brunei. Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah mendapat hak kerakyatan Malaysia dan bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962 hingga 1974.
            Arena Wati juga beralih secara pentas ke dunia kewartawanan pada tahun 1954 dan menjawat jawatan sebagai editor di Dewan Bahasa & Pustaka. Arena Wati juga semakin giat berkarya dan karya yang dihasilkan banyak menerapkan unsur akademik, imaginatif, mencabar minda dan kritikan . Arena Wati mendapat anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1988.
2.0       PENGENALAN NOVEL SANDERA      
Novel “Sandera” merupakan sebuah novel yang berkisarkan sebuah perjuangan. Novel ini mempunyai tajuk yang membawa makna besar pada keseluruhan penceritaan novel ini. “Sandera” merupakan perkataan yang berasal daripada Indonesia yang bermaksud tebusan, tahanan penjara, atau orang yang diculik. Pada mulanya karya ini tidak diterbitkan dan menjadi simpanan Dewan Bahasa dan Pustakan selama tiga tahun. Namun, pada tahun 1971 novel ini diterbitkan  oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini juga pernah dijadikan teks rujukan untuk pelajar aliran sastera. Novel ini memperlihatkan mesej nusantara yang sangat kuat dari segi persembahan latar cerita dan pembawaan watak yang merancakkan jalan cerita ini. Malahan Tan Sri P. Ramlee juga pernah berhasrat mengadaptasi novel ini ke dalam filem kerana penyampaian mesej novel ini yang melibatkan negara-negara di Nusantara.
            Novel berkisar tentang sebuah kebangkitan rakyat di Nusantara untuk menentang penjajah yang datang untuk merampas hak rakyat asal dan membuat kucar kacir. Novel ini mempunyai tiga bahagian iaitu bahagian I “Pelarian”, bahagian II “Gelombang Pasang” dan bahagian III “Salah siapa?” serta novel ini mengandungi 459 halaman. Novel ini juga memberikan panduan dan nasihat kepada mereka yang hidup selepas merdeka yang membawa mesej agar generasi kini sentiasa menghargai serta memahami kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu.
3.0       SINOPSIS NOVEL
Novel ini dimulakan dengan kisah perjuangan oleh seorang wanita yang mempunyai semangat perjuangan yang sangat kental iaitu Sariyah. Sariyah merupakan seorang janda kepada Ibrahim seorang pemuda yang lari daripada keluarganya di Kuala Terengganu. Sariyah pula merupakan seorang wanita yang berasal daripada Tanah Makassar Indonesia. Hasil perkahwinan antara Sariyah dan Ibrahim, lahir seorang putera yang diberi nama Busad.
            Busad merupakan tahanan yang akan dihantar ke Tanah Merah sebagai pesalah politik oleh penjajah Hindia-Belanda. Busad meninggalkan Makassar bersanama Jubir dan di hantar ke Tanah Merah yang digambarkan seperti sebuah tempat menuju kematian. Sariyah telah ditangkap oleh marsose setelah Busad hilang dalam kebakaran kapal yang membawanya ke Tanah Merah.
            Kisah kematian isteri Jusuh iaitu Indon yang merupakan ibu saudara kepada Busad yang berada di Terengganu. Kematian isteri Jusuh membuatkan dia merasa sebuah kehilangan dan menyebabkan dia menyesal atas perbuatannya yang suka bermain judi dan suka berfoya-foya. Akhirnya Busad menjadi seorang usahawan setelah selamar daripada kebakaran kapal yang dinaikinya menuju ke Tanah Merah. Busad berkahwin dengan Kalsom iaitu anak perempuan Jusuh dan juga merupakan sepupu Busad sendiri. Perkahwinan mereka telah diaturkan oleh Jusuh sendiri.
            Busad meninggalkan isteri dan anak dalam kandungan isterinya untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan di Singapura. Sariyah pula dikhabarkan berada di penjara Karebosi dan menjadi tahanan yang bertahan untuk tidak menurut arahan daripada Direktor Belanda itu. Jusuh sedih melihat Kalsom yang selalu bersedih kerana ditinggalkan suami yang pergi ke Singapura. Jusuh mengambil keputusan untuk pergi ke Singapura untuk mencari Busad. Jusuh meninggalkan Kuala Terengganu ke pelabuhan Mersing dengan sebuah kapal payang. Jusuh menuju mersing ke Johor Bharu dengan berjalan kaki namun Jusuh meninggal dunia di pertengahan jalan kerana pertengkaran dengan tentera Jepun.
            Mahmud pula terlibat dengan Parti Melayu Bersatu atas dorongan Busad. Keterlibatan Mahmud dalam Parti Melayu Bersatu merupakan taktik yang diaturkan oleh Busad untuk mendapatkan kuasa dan hak menuntut kemerdekaan. Mahmud mudah untuk menyesuaikan dirinya dalam Parti Melayu Bersatu kerana dia merupakan lulusan dalam undang-undang dan pernah menjawat jawatan sebagai seoran hakim. Tanah Melayu pada masa itu digambarkan sangat daif dan keperitan yang ditanggung oleh penduduk asal melaui peristiwa “food control”. Individu ditegah untuk membawa sebarang bekalan makanan yang masih berada dalam tin atau masih berbungkus rapi. Makanan yang dibawa daripada mana-mana tempat harus disertakan dengan surat yang rasmi daripada pihak Food Control bagi setiap bahagian untuk tujuan tertentu.
            Pertempuran seorang anak muda untuk kemerdekaan iaitu Mahadi yang merupakan anak lelaki kepada Jusuh telah berakhir dengan kematian dalam gerakan menumpaskan geng Kucing Hitam. Pada masa itu juga Tanah Melayu digemparkan dengan isu Jus Soli yang menyebut tentang hak kerakyatan automatik pada kelahiran di Tanah Melayu.
            Kemenangan 51 kerusi yang oleh Parti Melayu Bersatu daripada 52 kerusi yang dipertandingkan melibatkan gerakan Hakim Mahmud. Hakim Mahmud pada masa itu merupakan wakil kepada Parti Melayu Bersatu dan Zahid sebagai calon yang turut bertanding. Kemerdekaan Tanah Melayu pada masa itu menggembirakan semua penduduk Tanah Melayu yang juga diraihkan dengan kejayaan Kadir dan Rustam. Rustam telah beranjak dewasa dan setampan ayahnya iaitu Busad. Rustam memulakan pengajiannya di sebuah Universiti seperti yang dihajatkan oleh ayahnya.
            Akhir penceritaan novel ini dikisahkan dengan hal penyelewengan Ismail atau Weh yang menjual tanah pusaka arwah Haji Karim. Tanah pusaka Haji Karim merupakan hak Busad dan Kalsom namun Ismail telah menjual tanah itu kepada orang cina. Terjadi pertelingkahan dan pergaduhan antara Busad dan Ismail. Akhirnya, Ismail tersungkur lemah di tangan Busad. Busad juga menangkap orang Cina yang berpakat dengan Ismail untuk diserahkan kepada pihak polis.
4.0       ISI DAN MESEJ
Dalam novel Sandera, terdapat  beberapa isi dan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang. Secara ringkasnya, novel Sandera memaparkan kisah kebangkitan masyarakat Melayu menentang penjajah untuk memerdekakan tanah air.
            4.1       Perjuangan Menentang Penjajah
Secara keseluruhannya, mesej utama yang cuba disampaikan ialah tentang perjuangan masyarakat Melayu menentang penjajah. Hampir keseluruhan bab dalam novel ini menceritakan peristiwa penentangan masyarakat. Berikut merupakan salah satu peristiwa yang memaparkan penentangan masyarakat.

“Aku, dengan rela hati memasuki perjuangan ini, sejak suamiku masih hidup, dan melanjutkan hingga sekarang. Tujuannya bukan hanya sekadar kemerdekaan bangsa kami, tapi juga kemerdekaan kami itu akan kami isi dengan manusia yang berperkerti baik”
Sandera:  64
Peristiwa di atas menunjukkan semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh Sariyah. Sariyah menjelaskan perjuangan yang dilakukannya adalah untuk memerdekakan tanah air. Antara contoh peristiwa lain ialah:

Di hadapannya sekarang jelas kelihatan tong benzin berdiri di kaki tembok luar sel-sel para tahanan yang berpenghuni dan yang kosong. “Yah, kalau memang mesti      terjadi, dan sekadar  inilah yang dapat kulakukan, oh ibunda tanah air tercinta; sampai sinilah saham yang dapat kuberikan untukmu!”
            Sandera: 127

            4.2       Taat Setia Kepada Negara
            Selain itu, pengarang juga cuba menyampaikan mesej tentang taat setia kepada       Negara. Watak Sariyah dalam novel Sandera menunjukkan taat setia yang tidak       berbelah bagi kepada Negara. Sebagai contoh:
            “ Ibu tolak tawaran jasa dari saya ?”
            “ Aku tolak!’’
            “ Tapi dengan itu ibu akan mati terbakar.”
            “ Anakku juga mati terbakar!”
            “ Kau yang berkuasa di sini. Tapi aku akan lawan. Aku lawan, aku lawan,             kataku!” Sebagaimana aku lawan selama ini. Kau tahu? Aku engkau                         kurung, tapi jiwaku tidak! Aku engkau tahan di sini, tapi pengaruhku                        tidak!”
Sandera: 124

Peristiwa di atas memaparkan peristiwa di mana Sariyah telah diberi tawaran untuk bekerjasama dengan pihak Belanda. Sariyah akan dibebaskan jika menerima tawaran  itu  tetapi jika dia menolak, dia akan dibakar.  Oleh kerana semangat taat setia kepada Negara yang amat kuat dalam diri Sariyah, dia rela mati terbakar daripada berpaling tadah.
            4.3       Kekejaman Penjajah
Di samping itu, novel Sandera juga memaparkan tentang kekejaman penjajah. Antara peristiwa yang berlaku ialah:
“Tidak!” bentak Sariyah kembali. “Aku bukan binatang. Kau boleh memaksa kuda ke dalam air, tapi kau tidak dapat memaksa kuda  minum air.”
            “ Tapi aku dapat memaksa engkau,” kata yang berpakaian preman.
Kini, leftenan itu datang memaksa Sariyah dan  menariknya keluar dari bom kereta,dan dibawa ke belakang kereta kuda itu. Dan kudanya dipasang kembali oleh orang          preman itu. Dengan satu tendangan pada punggung daripada kaki leftenan itu,           Sariyah terhuyung dan dan terjongkok ke muka, kemudian dengan suara berdaulat leftenan itu membentak, “Letak tangan koe pada lantai kereta.”“Ini yang dapat mengajar koe, atau anak     manis itu akan bersama koe begini,” kata leftenan itu, dan mengambil dua buah paku dan sebilah tukul dari dalam peti di bawah tempat duduk kereta itu. Dan dengan tangan leftenan itu sendiri, dia pakukan kedua-dua belah tangan Sariyah pada lantai kereta.
Sandera: 28-29

            Peristiwa di atas mengisahkan tentang Sariyah yang telah ditangkap kerana            dituduh mengetuai pakatan menentang penjajah. Sariyah yang enggan mengikut            tentera Belanda telah diseksa oleh pihak Belanda. Tangan Sariyah telah dipaku di       lantai  kereta kuda oleh leftenan Belanda.

            4.4       Ketentuan Jodoh
            Selain itu, mesej sampingan yang cuba disampaikan oleh pengarang ialah tentang   ketentuaan jodoh. 
Mahmud tidak menyangka bahawa Busad akan menjadi menantunya. Busad adalah sahabatnya. Daripada pertolongan-pertolongan Busad kepada keluarganya terutama pada zaman Jepun, tidak terbayang  dalam fikiran Mahmud, bahawa Busad akan menjadi keluarganya.
Sandera: 316
5.0       SENI KEPENGARANGAN
Novel Sandera merupakan antara karya yang  menjadi kebanggaan ramai kerana novel ini tergolong dalam karya kesusasteraan Melayu yang lahir pada awal 1970-an dan pada masa itu belum ramai penulis yang berkualiti seperti Arena Wati. Jika diteliti isi kandungan Sandera, pengarang dilihat sebagai seorang yang mendalami dan berpengetahuan mengenai peperangan, sejarah dan politik tanah air. Novel ini banyak menceritakan kisah kebangkitan rakyat di nusantara menentang penjajahan dari pihak luar. Kandungan novel ini juga mengandungi panduan dan nasihat kepada mereka yang hidup selepas merdeka agar menghargai dan memahami kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu.
            Pengarang banyak menceritakan mengenai peperangan, sejarah dan politik tanah air kerana beliau telah dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana tersebut. Oleh yang demikian, Arena Wati menggunakan pengalaman dan pemerhatiannya dalam menghasilkan novel Sandera. Sandera berkisar tentang kisah perjuangan panjang yang merujuk kepada pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Bermula dengan watak Busad di Makassar, Indonesia pada 1939 hinggalah 1967 di Malaysia.
            Suatu yang menarik tentang novel ini ialah watak-watak utamanya merupakan pejuang yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa iaitu Busad (Belanda), Sariyah (Belanda), Mahmud (Jepun), Zahid (Malaysia sewaktu konfrontasi Malaysia - Indonesia) dan Sapiah (selepas keluar dari Parti Komunis Malaya).
Novel Sandera merupakan sebuah novel fiksyen tetapi bergerak di atas galur sejarah memperlihatkan kebijaksanaan Arenawati mengaulkan fakta dan fiksi menjadi sebuah karya sastera yang mempunyai keindahan estetika. Pada masa yang sama beliau membentangkan banyak fakta sejarah yang tidak pernah diperkatakan sebelum ini.
            Kekuatan novel Sandera terletak pada kemampuan pengarangnya yang memberikan pelukisan yang terperinci terhadap watak dan peristiwa yang melingkunginya. Ini berjaya dilakukan oleh adanya penggunaan teknik yang berkesan dalam aspek-aspek dialog, imbas kembali, imbas muka dan sebagainya. Teknik-teknik ini dilihat berjaya menarik minat dan perhatian pembaca untuk meneruskan pembacaan.
            Dalam novel ini, pengarang banyak menggunakan teknik dialog. Dialog merupakan salah satu bentuk komunikasi interpersonal. Dialog berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud antara, diantara, berbicara, bercakap-cakap, bertukar pemikiran dan idea. Dalam erti kata lain, dialog merujuk kepada pertuturan antara dua watak atau lebih daripada dua watak. Dialog digunakan oleh pengarang untuk menampakkan karakter dan memperkaya plot. Selain itu, dialog digunakan bagi mencipta konflik, menghubungkan fakta-fakta, menghubungkan adegan-adegan dan sebagainya. Antara dialog yang digunakan dalam novel ini ialah :
            “Kau ada anak, Jubir. Kau ada isteri, kau     ada tanggungjawab keluarga!”
“Kalau kau sanggup, mengapa aku tidak?”
“Ada lainnya, Jubir. Sekurang-kurangnya     aku belum ada tanggungjawab keluarga. Ibuku dapat mengurus dirinya sendiri”
            “Persetan!” (Hal.2)
Selain itu, pengarang turut mengemukakan teknik imbas kembali dalam novel ini. Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya. Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman. Dalam novel ini, perjuangan Busad bukanlah secara militan, ekstrem dan ikut mengangkat senjata. Busad selalu meletakkan dirinya sebagai orang tengah iaitu orang bergabung dengan kelompok-kelompok yang mempunyai kepentingan langsung untuk mencetuskan revolusi menuju kemerdekaan. Teknik imbas kembali dapat dilihat apabila Jubir mengingat kembali perangai rakannya iaitu Busad.
Anak muda ini amat banyak perangainya       yang menakjubkan. Dahulu, Busad    anak    periang, peramah, manja kepada ibunya. (Hal.4)
Teknik imbas muka pula berlawanan dengan teknik imbas kembali. Teknik ini merupakan cara pengarang memberikan bayangan awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan. Teknik ini juga dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku. Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan contoh ayat:      
Busad yakin, besok ketentuan yang pasti, dia akan menerima surat rasmi, bahawa tempatnya ialah Tanah Merah. (Hal. 6)
            Pengarang juga kerap menggunakan teknik monolog dalaman dalam novel ini. Monolog dalaman merujuk kepada percakapan, lintasan, atau rintihan dalam hati atau fikiran sesuatu watak dan tidak diketahui oleh watak-watak yang lain.dalam erti kata lain, watak akan berkata- kata di dalam hati atau dalam fikirannya sahaja. Perkara ini dapat dijelaskan lagi menerusi contoh ayat yang dipetik daripada Novel Sandera:
Hatinya ragu tentang sikap Jubir. Mengapakah Jubir dipindahkan kepadanya, di saat-saat genting kepada Busad? Sudahkah Jubir termakan gula-gula politik Hindia Belanda? (Hal.5)
            Dalam novel Sandera ini juga, pengarang dilihat sebagai seorang yang gemar menggunakan ayat yang panjang dan meleret-leret dalam menceritakan sesuatu perkara. Hal ini dapat dilihat menerusi watak Sapiah, ibu kepada Busad berfikir akan masa lalunya. Watak wanita seperti Sapiah merupakan antara watak kuat yang menggambarkan pengertian Sandera. Dia sanggup menggadaikan kasih sayang terhadap orang yang dicintai demi kemerdekaan negaranya. Sapiah juga dirujuk sebagai salinan watak sebenar Shamsiah Fakeh, wanita yang pernah menggemparkan dengan peristiwa membunuh anak sendiri di hutan ketika menyertai Parti Komunis Malaya (PKM).
Untuk apa dia menegah orang lain berbuat sesuatu demi perjuangan yang maha besar ini, kalau dirinya sendiri, dengan penuh kesedaran melibatkan diri dalam gerakan politik yang berbahaya; sayap kiri dan gerakan wanita yang bersikap non-koperator pula? (Hal. 16)
6.0       SENI BAHASA
Seni merupakan satu ekspresi yang boleh dilihat dari segi kreativiti manusia. Seni   juga boleh disamaertikan dengan sesuatu karya atau tulisan yang diciptakan oleh manusia yang mengandungi unsur keindahan. Seni adalah sesuatu perkara yang sangat sukar untuk dinilai oleh mata kasar. Seni boleh dikatakan hadir dalam sesuatu            karya apabila sesuatu hasil karya itu dapat menggerakkan perasaan indah kepada             orang yang melihat atau membaca hasil karyanya. Oleh itu, perbuatan manusia yang boleh menimbulkan perasaan indah juga dinamankan sebagai seni. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), bahasa didefinisikan sebagai satu sistem lambang             bunyi atau suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia iaitu antara seseorang individu dengan individu yang lain.
            Seni boleh dikaitkan dengan nilai estetika. Secara umumnya, estetika boleh juga didefinisikan sebagai keindahan. Oleh sebab itu, estetika merupakan satu cangan yang sangat dekat dengan falsafah seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni dan keindahan. Apabila dilihat daripada konsep yang berkaitan dengan karya, kita dapat mengaitkan dengan unsur ini dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni. Secara umumnya estetika dikaitkan dengan karya    seni manusia atau mengenai alam semesta. Antara seni bahasa yang terdapat dalam    novel Sandera ialah :
6.1        Pengaruh Bahasa Asing
Peminjaman perbendaharaan kata asing adalah  untuk memperkayakan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. Peminjaman sesuatu kata boleh dilakukan secara terus atau melalui penterjemahan sesuatu perkataan atau konsep asing. Antara sebab bahasa Melayu meminjam perbendaharaan kata asing adalah untuk menamakan sesuatu benda, konsep, atau fenomena baru. Dalam karya agung Melayu terutamanya dalam novel Sandera ini, terdapat beberapa pengaruh bahasa asing, antaranya :
                        6.1.1    Pengaruh Bahasa Inggeris
Pengaruh bahasa Inggeris mula bertapak dalam bahasa Melayu bermula pada abad ke-18. Selepas perang dunia ke-2, British mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Berdasarkan novel Sandera yang telah dikaji, pengaruh bahasa Inggeris ini dapat dilihat daripada contoh berikut :
            “Boleh saja orang-orang kriminal itu dijadikan lembu”.(muka        surat2)
            Dan minggu lau-enam hari yang lewat – direktor penjara datang    membawa surat yang menentukan hidup masa depannya. (muka     surat3)
            Kemudian kembali ke Makasar, menjadi lunak dan kian hati-hati.    Kerja jadi  Land-Assistant. ( muka surat 4 )
Pada sebuah rumah di Jawa Road, Busad bertemu seorang pelarian politik dari tanah Melayu sejak tahun 1936. ( muka surat 99 )
Mahmud tidak terus ke Johor Sport Club. Askar-askar British, India dan Australia, konvoi demi konvoi menyeberangi causeway menuju            utara. ( muka   surat 107 )
Tetapi ketika memandang ke depan, matanya tertumbuk kepada satu barricade askar Inggeris di tengah jalan, dengan bentung guni pasir. (muka    surat 113 )

            6.1.2    Pengaruh Bahasa Arab

Pengaruh bahasa Arab mula meresap dengan kedatangan Islam ke alam Melayu. iai kemudiannya berkembang apabila pihak istana memeluk Islam dan rakyat juga mengikutinya. Dengan penyebaran agama Islam itu, banyak mempengaruhi bab-bab yang berkaitan dengan hukum-hukum. Antara contoh yang terdapat dalam novel Sandera yang menunjukkan tersebarnya agama Islam ialah :
Ayahnya meninggalkan Tanah Melayu kerana penentangannya kepada politik raja yang selalu mengalah kepada Inggeris, dan sikap beku daripada mufti yang terlalu kaku menghadapi cabaran zaman bagi agama Islam. ( muka surat 6 )
Insya-Allah. Tapi saya tidak turun di Johor Bharu.” ( muka surat 119 )

6.1.3    Pengaruh Bahasa Cina

Kebanyakan orang Cina yang datang ke Tanah Melayu berasal dari daerah selatan ( Hokkien dan Canton ) . Maka kebanyakan kosa kata yang dipinjam berasal dari dialek bahasa daerah tersebut. Contoh yang terdapat dalam novel Sandera yang dikaji ialah :
Kalsom datang menatang dulang yang berisi cawan kosong, teko penuh kopi dan beberapa piring luih-muih Melayu.

            6.2       Sinkof
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), sinkof bermaksud singkatan kata. Berdasarkan novel Sandera ini, kebanyakan sinkof digunakan dalam dialog atau perbualan. Antara contoh penggunaan sinkof dalam novel ini ialah :
 “Apa yang kau dapat, Jubir?”
 “Apa kata mu? Soal Jubir berpaling. “ Kau mau aku…,” Jubir merenung tepat muka Busad, “kau mau supaya aku jadi anjing koperator?” ( muka surat 2 )
“Yah, kau mau apa?” soal seorang pemuda maju ke muka, menadah dada kepada orang preman itu. ( muka surat 28 )

            6.3       Disfenimisme
Disfenimisme boleh ditakrifkan sebagai kata-kata kasar yang diungkapkan untuk tujuan yang tertentu. Berdasarkan novel Sandera ini, antara contoh yang dapat dilihat ialah :
Persetan!” Jubir menengking. “Macam tak tau saja.” ( muka surat 2 )
Nah, setan-setan pilek, setan-setan yang tak cukup nafas, terangkan itu kepadaku!”                                                                                                           ( muka surat 26 )
“Apa katamu?”
“Weh dan Som kita kahwinkan.”
Setan!” bentak Jusuh garang
“Kenapa pula setan?”
“ Kau setan betina tua,” Jusuh tegak dari duduknya. ( muka surat 69 )

            6.4       Satira
Satira boleh diertikan sebagai kritikan terhdap sesuatu dengan membandingkan dengan sesuatu. Perbandingan ini berlaku dalam bentuk sindiran. Antara contoh daripada novel Sandera ini ialah :
Sorak itu diselang suara caci maki dari rakyat kepada pegawai-pegawai tinggi bumiputera yang selama ini digelar anjing koperator. ( muka surat 2 )
“ Boleh saja orang-orang kriminal itu dijadikan lembu”. ( muka surat 2 )

            6.5       Metafora

            Metafora boleh didefinisikan sebagai Perbandingan di antara  perkataan konkrit dan abstrak. Antara contoh daripada novel ini ialah :

Sudahkah Jubir termakan gula-gula politik Hindia Belanda, dan sanggup menjadi alat pelentur, untuk menundukkan Busad? ( muka surat 5 )
Malah, di luar pengetahuan Mahmud, ramai di kalangan pucuk pimpinan Melayu Muda sudah bersedia memberikan kerjasaman dengan Jepun untuk menghalau Inggeris dari Malaya. ( muka surat 56 )

            6.6       Anafora
Anafora bermaksud pengulangan perkataan di awal baris. Pengulangan di awal baris berlaku apabila berlaku perulangan perkataan yang sama dalam baris yang berikutnya. Antara contoh yang terdapat dalam novel ini ialah :
Dan walaupun orang Makasar terkenal dengan sikap suka membunuh orang tetapi bukan dengan kegilaan begitu.
Dan ayahnya, yang sudah mati akibat sakit pening kepala setelah Perang Dunia Pertama, terkenal orang baik. ( muka surat 6 )
      “ Selamat tinggal
Selamat tinggal Losariku yang indah
Selamat tinggal riak pantai dan angina lautku,
Selamat tinggal, warna senja yang mempesona
Selamat tinggal pulau-pulauku….” ( muka surat 10 )

            6.7       Repitisi

Repitisi boleh didefinisikan sebagai pengulangan perkataan di tengah baris. Berdasarkan novel Sandera yang dikaji, contoh yang dapat diambil ialah :

Memang ayahnya bukan orang Makasar, bukan orang Bugis, dia orang datang dari Tanah Melayu. Pun datangnya ke Makasar bukan untuk tidak apa-apa. (muka surat 6)
Guruh di timur laut yang tadi sayup-sayup menggelugup, sekarang kian mengguruh, dan awan kian mendung di pergunungan. Janji hujan bulan Disember kian dekat. (muka surat 61)
Tujuannya bukan hanya sekadar kemerdekaan bangsa kami, tapi juga kemerdekaan kami itu akan kami isi dengan manusia yang berpekerti baik. (muka surat 64)

            6.8       Simpulan Bahasa

Simpulan bahasa didefinisikan sebagai kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu. Simpulan bahasa ini mempunyai maksud yang tersirat atau tersembunyi bukan maksud secara tersurat dan nyata. Ringkasnya maksud bagi simpulan bahasa ini berlainan daripada maksud perkataan yang sebenar. Contoh yang dapat diambil daripada novel Sandera ialah :

“Kalau kau iri hati kepada mereka, engkau beum terlambat. Tandatangan surat itu Jubir, dan kau akan bebas.” ( muka surat 2)
“ Lebih baik kau nasihati dirimu sendiri,” Jubir berkata pahit kepada Busad. “Kau masih muda, belum ada turunan, dan kau anak tunggal dari ibumu, dan ibumu tak ada suami lagi.” ( muka surat 3 )
Lihat, berapa saja sekolah partikelir yang langsung daripada bumiputera, sudah gulung tikar, kerana guru tidak ada. ( muka surat 5 )

7.0       NILAI BUDAYA

Nilai budaya merupakan perkara yang paling banyak ditonjolkan oleh pengarang dalam sesebuah hikayat. Wan Abdul Kadir (2007) telah mendefinisikan nilai sebagai ukuran yang diberikan oleh seseorang individu tentang sesuatu atau perlakuan baik atau buruk, halus atau kasar, tinggi atau rendah, berasaskan kepada kelakuan yang telah menjadi kebiasaan atau kelaziman yang dikongsi bersama dan telah disahkan oleh masyarakat akan kedudukan nilai itu. Anggota masyarakat dapat menyatakan ukuran nilai dalam menentukan sesuatu atau perlakuan berasaskan kepada pengalaman yang diterimanya melalui proses sosiolisasi.
Kamus Dewan Edisi Keempat, pula mendefinisikan nilai sebagai taksiran harga, harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain, kadar nisbah, sifat ketinggian dan darjat, kualiti, mutu dan taraf. Maksud ini jelas mengambarkan nialai adalah ukuran kepada sesuatu seperti sifat keperibadian yang ada pada individu.
Budaya secara umumnya difahami sebagai keseluruhan gaya hidup anggota masyarakat yang meliputi berbagai-bagai aspek kehidupan seperti peralatan, teknologi, pemikiran, nilai, pandangan dunia dan sebagainya. Setiap masyarakat mempunyai budayanya dan budaya itu mengambarkan identiti masyarakat tersebut. Budaya atau kebudayaan berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah yang bermaksud budi pekerti atau akal.
Menurut Kamus Dewan (2005), budaya ditakrifkan sebagai kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Budaya juga diklasifikasikan sebagai satu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.
Mohd Taib Osman (1988) ada membuat tafsiran mengenai budaya. Menurut beliau, budaya memperlihatkan satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang mampu memenuhi kehendak kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya dengan keadaan sekeliling. Melalui himpunan daya intelektual tersebut masyarakat membentuk nilai yang dapat diterima bersama.
Dalam novel Sandera terdapat beberapa nilai budaya yang cuba ditonjolkan oleh pengarang. Nilai budaya yang disampaikan oleh pengarang ini, menceritakan keadaan dan suasana masyarakat pada ketika itu.

            7.1       Budaya Menguruskan Jenazah
Dalam masyarakat islam, menguruskan jenazah merupakan perkara yang amat penting dan diambil berat. Jika berlaku kematian, masyarakat akan segera menyempurnakan mayat tersebut. Dalam islam, jika berlaku kematian, jenazah hendaklah segera disempurnakan. Dalam novel ini, pengarang memaparkan nilai budaya melalui peristiwa kematian isteri Jusoh iaitu Indon. Selepas Indon meninggal dunia, orang kampung dengan segera datang ke rumah Jusoh untuk menyempurnakan jenazah Indon.
“ som.. orang hendak memandikan mayat… menghindar sebentar. ”
“turutlah mek, hari sudah lengser, masih banyak yang mesti dikerjakan untuk menyempurnakan emakmu.”
(Sandera  ms 37)        
            7.2       Perkahwinan Antara Saudara
Dalam masyarakat Melayu perkahwinan merupakan satu perkara yang amat penting. Budaya menyatukan pasangan dalam kalangan waris terdekat juga merupakan perkara yang sering dilakukan oleh masyarakat Melayu. Tujuan penyatuan antara ahli keluarga adalah untuk memastikan harta warisan tidak jatuh ke tangan orang lain. Perkahwinan antara saudara dapat memastikan harta pusaka khususnya tidak dibahagi kepada orang yang salah. Perkara ini dapat dilihat melalui watak Bedah yang memaksa Jusoh menjodohkan Kalsom den Weh.
“ ada baiknya sekarang kita bicarakan adik-beradik. Weh sudah dekat tujuh belas. Kalsom sudah enam belas. Baik kita langsungkan kedua-dua anak kita ini kalau sudah meratus hari Indon.”
                                                                                                (Sandera  ms 69)

            7.3       Memuliakan Tetamu
Masyarakat Melayu amat menghargai tetamu. Bagi masyarakat Melayu, tetamu merupakan anugerah dan rezeki yang dikirimkan oleh Allah untuk mereka. Oleh itu, masyarakat Melayu akan menghargai setiap tetamu yang datang ke rumah. Tetamu yang datang akan dilayan dengan sebaik mungkin. Tuan rumah juga akan memastikan yang tetamu akan selesa di rumahnya. Perkara ini dapat dilihat melalalui watak Jusoh yang begitu teruja menyambut kedatangan Busad.
“ Ya, tamu dari jauh. Sediakan makanan yang baik-baik dan tempat tidur juga. Barangkali kalau tidak ada hotel, dia akan tidur di rumah ini.”
“ …… buat kan nasi dagang sarapan pagi. Lauknya ikan raya (tongkol). Dan tempat tidur, pasangkan katil yang ayah buatkan yang belum engkau pakai itu. Letak tilam baru itu yang tergantung di tengah rumah. Pasang cadar baru itu juga yang kau sulam, dan bamtal baru juga,” Jusuh terus-menerus memandang muka anaknya yang sudah berubah kesal dan merah padam itu.
(Sandera ms 77)
            7.4       Adat Bersalaman
Adat bersalaman juga merupakan budaya yang diterapkan dalam masyarakat Melayu. bersalaman merupakan cara orang Melayu memaparkan kemesraan dan mengukuhkan ikatan silaturahim. Namun begitu salam antara lain jantina merupakan perkara yang agak pelik bagi masyarakat Melayu. orang Melayu begitu menjaga batas hubungan antara lelaki dan perempuan. Jika ada lelaki dan perempuan bersalaman, itu merupakan perkara yang sangat aneh dan akan dipandang pelik oleh masyarakat. Perkara ini berlaku semasa peristiwa Bahar berjumpa dengan isteri Mahmud.
Isteri Mahmud menghulur tangan dan senyum sambil berkata, “ saya Fatimah.”
Bahar menyambut tangan yang terhulur itu dengan rasa tertegun. Bukan tidak biasa berjabat tangan dengan perempuan tetapi ini lazim di kalangan sahabat-sahabatnya orang Cina dan orang putih. Tetapi tidak pada perempuan Melayu.
(Sandera ms 218)
8.0       Pandangan Hidup
Menurut Mohd Rashid Md Idris et.al (2014), secara umumnya, pandangan hidup merupakan satu konsep mengenai alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Selain itu, aspek ini bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Pandangan hidup merupakan pendapat atau pertimbangan yang dijadikan pegangan, petunjuk dan pedoman hidup di dunia. Pendapat atau pertimbangan ini wujud hasil daripada pemikiran manusia berdasarkan pengalaman sejarah menurut waktu dan tempat hidupnya (Ahmad Jenali, 2008). Menurut Mohd Rashid Md Idris et.al (2014), hampir 800 tahun Hindu- Buddha telah mempengaruhi minda orang Melayu dan dalam tempoh tersebut orang Melayu dibelenggu oleh corak berfikir yang bersifat khayalan dan mitos. Walau bagaimanapun, setelah Islam tersebar di Nusantara, barulah berlaku transformasi yang melibatkan perubahan falsafah hidup, pemikiran dan jiwa orang-orang Melayu.

            Dalam siri novel Sandera, penulis menyampaikan kisah tentang perjuangan masyarakat dalam menentang penjajah justeru pandangan hidup yang terdapat dalam karya ini ialah masyarakat yang perlu berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan.

            ‘dirinya bukan hak diri sendiri, bukan hak keluarga, bukan hak anak                       anak atau isteri tetapi hak cita-cita perjuangan.’

            Petikan tersebut telah menjadi pegangan bagi beberapa watak dalam novel ini iaitu Busad, Ibrahim dan Sariyah yang merupakan ibu bapa kepada Busad. Petikan tersebut menggambarkan semangat dan kesediaan watak untuk memerdekakan tanah air mereka daripada penjajah sehingga sanggup untuk meninggalkan keluarga dan juga bersedia untuk kehilangan nyawa. Hal ini demikian kerana, masyarakat di nusantara yang digambarkan oleh penulis perlu berhadapan dengan kekejaman penjajah terutamanya mereka yang terlibat dengan pertubuhan-pertubuhan seperti Kesatuan Melayu Muda, Hisbul Watan dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, pihak yang terlibat dalam persatuan yang bermotif untuk menjatuhkan penjajah akan menjadi buruan kerana kebimbangan penjajah terhadap kedudukan mereka di nusantara.

Dalam novel ini, dapat dilihat masyarakat yang sanggup berkorban demi mencapai kemerdekaan melalui watak Busad. Busad merupakan watak utama dalam karya ini telah ditangkap, dipenjara dan merupakan salah seorang tahanan yang akan dihantar ke Tanah Merah iaitu sebuah tempat untuk orang-orang buangan. Hal ini demikian kerana, Busad merupakan salah seorang pemuda yang aktif dalam pertubuhan yang menentang penjajah iaitu Inggeris. Selain itu, ketika peristiwa kejatuhan kuasa Inggeris di Tanah Melayu dan permulaan kemasukan Jepun, ramai ahli Melayu Muda yang aktif dan merupakan orang yang hebat telah ditangkap. Keadaan ini telah mewujudkan suasana yang getir akibat penangkapan yang dilakukan kerana akan menjejaskan gerak kerja mereka. Melihat situasi tersebut, Busad  meninggalkan isteri dan keluarga di Terengganu selama dua tahun untuk memastikan gerakan menjatuhkan Inggeris berjalan seperti yang dirancang dan akhirnya perkahwinan Busad berakhir dengan perceraian. Jelas menunjukkan bahawa perjuangan dalam menuntut kemerdekaan memerlukan pengorbanan baik dari segi nyawa, keluarga, masa dan juga tenaga.
            Selain itu,  dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, keberanian merupakan aspek yang penting yang perlu ada dalam diri masyarakat bagi menggapai cita-cita. Hal ini demikian kerana, dalam perjuangan menuntut kemerdekaan pelbagai cabaran seperti tekanan pihak Inggeris, penipuan, penganiayaan dan sebagainya, justeru keberanian merupakan benteng untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Aspek keberanian ini telah ditonjolkan dalam watak Sariyah dan juga Busad. Sebagai contoh, Sariyah merupakan wanita yang berani dalam menentang pihak Inggeris bukan sahaja dapat dilihat daripada aspek pertuturan dan tingkah laku. Sariyah merupakan seorang wanita yang mempunyai pengaruh yang besar dalam penentangan terhadap penjajah dan ketika peristiwa penangkapannya, Sariyah tidak gentar ketika berhadapan dengan serdadu-serdadu Inggeris.

“Hai hantu-hantu botak...tidak cukupkah dengan membawa serdadu-serdadu untuk menangkap aku, aku seorang perempuan, kau rampas pula hartaku dan membelenggu aku begini? Aku bukan kriminal, aku bukan pembunuh dan aku bukan pencuri.”
“ Buat apa engkau daripada pihak berkuasa tidak berkata terus tentang anakku. Kalau memang pemerintah tidak menemukannya, mengapa pemerintah malu-malu mengakui perbuatan dan kelemahan diri. Nah, setan-setan yang tak cukup nafas, terangkan kepadaku”.
   (Sandera: 26)
            Dalam peristiwa tersebut, Sariyah dengan berani telah menuntut penjelasan daripada Inggeris mengenai anaknya iaitu Busad yang dijangka oleh Sariyah dan penduduk sekeliling telah mati dalam peristiwa kebakaran kapal yang membawa tahanan ke Tanah Merah. Di samping itu, Sariyah juga berani mempertahankan diri daripada tuduhan yang dilemparkan oleh penjajah yang menyatakan dia telah menghasut penduduk di pedalaman agar tidak membayar cukai. Keadaan ini menunjukkan sikap masyarakat yang perlu menanam sikap keberanian dalam pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi bagi mendapatkan kemerdekaan.
            Seterusnya, sikap kerjasama atau muafakat perlu dipasakkan dalam jiwa masyarakat dalam penentangan terhadap penjajah. Hal ini demikian kerana, aspek ini akan menentukan keberhasilan gerakan dan usaha yang dilakukan untuk menyingkirkan penjajah di nusantara. Sesebuah masyarakat akan menjadi utuh dan kuat sekiranya ada sikap kerjasama dan bersatu padu jika dibandingkan dengan masyarakat yang mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing. Dalam karya ini, sikap muafakat telah dapat dilihat ketika Inggeris gagal mempertahankan kuasa mereka di Tanah Melayu yang juga menjadi detik kemasukan pihak Jepun. Dalam peristiwa tersebut, Melayu muda telah mengarahkan ahli-ahlinya untuk menjalankan tugas di seluruh Tanah Melayu dan juga Singapura. Ketika itu, ramai ahli-ahli Melayu Muda yang telah ditangkap oleh Inggeris yang bekerjasama dengan Jepun untuk menjatuhkan pemerintahan Inggeris termasuk ahli-ahli yang terpengaruh.
Rentetan daripada peristiwa tersebut, mereka yang belum ditangkap oleh Inggeris seperti Busad, Mahmud Ghani dan Andang telah merancang untuk memastikan agar ahli Melayu Muda tidak terus ditangkap oleh pihak Inggeris yang akhirnya menjejaskan gerakan penentangan mereka. Sebagai contoh, Busad dan Andang telah menjalankan tugas mereka di Singapura, Ghani telah diarahkan ke Melaka manakala Mahmud ke Johor Bharu.

“Sebelum Karim datang, Mahmud dan Andang sudah menentukan rancangan kerja mereka. Pertama, berita penangkapan ini mesti disebarkan kepada orang-orang Melayu Muda...Mahmud sendiri akan bekerja untuk Johor dan Melaka. Andang untuk Singapura”.
              (Sandera: 105)
9.0       Nilai Ilmu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keeempat (2010:1081), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial, nilai (value) boleh didefinisikan kepada tiga konteks yang utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kualiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga diistilahkan sebagai 'al-qimah' dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau yang buruk dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan sesuatu penentu bagi barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.
            Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Masyarakat Melayu cukup mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat dan nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan yang murni. Nilai dalam masyarakat Melayu dapat dipupuk melalui dua pembahagian cara, iaitu formal (melalui pendidikan formal di institusi pendidikan) dan tidak formal (melalui persekitaran seperti keluarga, rakan dan masyarakat).
            9.1       Ilmu Pertukangan
Dalam novel Sandera yang telah dikaji, nilai ilmu jelas dapat dilihat pada muka surat 31. Nilai ilmu yang terkandung adalah ilmu pertukangan iaitu ilmu mengergaji kayu. Penulis menyelitkan nilai ilmu ini semasa penduduk kampung sibuk membicarakan tentang konflik yang melanda watak-watak utama yang terkandung dalam novel ini. Kreativiti penulis jelas kelihatan apabila beliau memasukkan nilai ilmu semasa mengambarkan keadaan dan suasana penduduk setempat pada ketika itu.
“… Dia cuma berdua dengan Indon, takkan boleh dibiarkan harta itu dibolot Jusuh,” orang tua itu bersuara lagi, dan mencapai gergaji, mengangkat papan yang sudah digaris sifat tadi naik ke atas kuda-kuda, dan mulai memotongnya belah dua.
Sandera : 31
9.2       Ilmu Perkapalan
Selain itu, penulis juga menyelitkan nilai ilmu semasa peristiwa Busad mengikut sebuah kapal berlayar. Nilai ilmu yang terkandung semasa peristiwa itu ialah ilmu perkapalan. Penulis telah mengambarkan dengan jelas cara jurumudi mengemudi kapal untuk mengubah arah haluan kapal berkenaan.
“Tidak mengganggu…,” kalimat jurumudi ini putus. Tangannya yang memegang celaga kemudi merasakan secara instinct gigil daripada daun kemudi. Dia mengerling ke layar besar, dan dilihatnya pangkal layar pada tiang agung mengelinding kosong – haluan naik ke mata angin. Maka dengan cekatan dipegangnya dengan kedua-dua belah tangan hulu celaga kemudi itu, dan kedua-dua belah tapak kakinya tertumpu pada baluk titi kemudi, dan punggungnya lekat pada birai geladak, lalu memandang ombak yang datang mengangkat buritan, dan sekali gus menarik celaga itu.
                                          
Sandera : 43
10.0     PENUTUP
Sandera merupakan sebuah karya yang amat benilai dan perlu dibaca oleh setiap lapisan masyarakat. Sandera mengajar kita bertapa besarnya pengorbanan masyarakat dulu dalam memastikan tanah Melayu ini bebas dari penjajahan barat. Sandera juga mengajar kita erti cinta akan tanah air dimana watak utamanya sanggup berpisah dengan keluarga demi memastikan negaranya merdeka. Kita sebagai generasi muda perlu menghargai dan memastikan negara terus selamat.









                                          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan