Alam Melayu kaya dengan sastera hikayat Melayu yang dirangkumkan dengan banyak peristiwa oleh watak-watak yang tertentu latar belakangnya. Hikayat Melayu mencakupi ruang yang cukup luas, merentas kawasan setempat dan kawasan. Peristiwa yang diperincikan dalam hikayat Melayu dapat membawa pembaca atau pendengarnya ke dunia-dunia lain, kea lam maya, dan ke dunia kayangan.
Isi dan penyampaian sesebuah hikayat mempunyai isi yang padat dengan pelbagai episod, peristiwa dan kejadian yang menceritakan banyak kisah antaranya ialah:
ii. Gelagat para raja
iii. Kisah putera puteri yang elok paras rupanya
iv. Para hulubalang yang perkasa
v. Para dewa dewi daripada kayangan
vi. Kurniaan kuasa ajaib manusia
vii. Peperangan
viii. Persengketaan
ix. Hal istana
x. Fitnah dan kekejaman
xi. Hasad dengki, akibat dan malapetaka
2.0 NASKHAH HIKAYAT ACEH
Teks Hikayat Aceh yang diterbitkan buat setakat ini hanya yang diketahui sahaja dan banyak bahagian teks pada hikayat ini yang telah hilang. Hikayat dikekalkan dalam dua buah naskhah sahaja iaitu pada naskhah Cod. Or. 1954 sebagai naskhah A dan Cod. Or 1983 sebagai naskhah B. Naskhah hikayat ini merupakan koleksi Legatum Warnerianum di Perpustakaan Universiti Leidin. Naskhah hikayat yang hanya dikenal pasti terdapat 281 halaman sahaja dan sebahagiannya lagi masih tidak ditemui dan disahkan hilang. Pengarang hikayat ini tidak dapat dikenal pasti dan menurut kenyataan yang dirujuk Naskhah Hikayat Aceh yang dikaji dan diperkenalkan oleh Teuku Iskandar (2001), pengarang hikayat ini hanya dinyatakan mendapat perintah daripada Sultan Iskandar Thani tentang zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda di Aceh pada tahun 1606 hingga 1636.
Negeri Aceh merupakan sebuah negeri yang menjadi pusat tamadun Melayu-Islam yang besar dan kuat selepas kejatuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511. Pada zaman tersebut juga pertumbuhan kegiatan penulisan dan pemikiran yang luar biasa dalam bahasa Melayu. Sejak pertengahan abad ke-17 kemunculan ramai barisan penulis dan pemikir Melayu Islam yang terkenal antaranya ialah Syeikh Nuruddin Al-Ramiri yang masyhur dengan karyanya Bustan al-Salatin dan ramai lagi.
Hikayat Aceh dikarang pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda pada tahun 1606 hingga 1636. Penulisan hikayat ini atas perintah daripada Sultan Iskandar Thani setelah kemangkatan Sultan Iskandar Muda. Hikayat ini merupakan sebuah karya agung sejarah dan kesusasteraan Melayu yang lahir pada zaman perkembangan wacana ilmu.
Berdasarkan kandungan Hikayat Aceh, dapat diringkaskan bahawa hikayat ini dikarang untuk mengagungkan dan memuja Sultan Iskandar Muda. Hikayat ini memerihalkan salasilah keluarga Sultan Iskandar Muda dan bondanya diberi gelaran Paduka Syah ‘Alam dalam salasilah raja. Sultan Iskandar Muda diceritakan dalam hikayat ini mempunyai banyak nama gelaran bagi setiap peristiwa dan perkara yang dilakukannya oleh orang-orang di sekelilingnya. Antara nama gelaran Sultan Iskandar Muda ialah Pancagah, Johan Alam dan Perkasa Alam. Banyak mitos yang diceritakan pada awal berkaitan asal usul raja-raja Aceh. Permulaan hikayat dirancakkan lagi dengan penceritaan tentang salasilah Sultan Iskandar Muda daripada pihak ayahandanya dan bondanya. Seterusnya, penceitaan dilanjutkan dengan pemerintahan daripada nenek moyang Sultan Iskandar Muda. Penceritaan yang semakin mendalam mula menyentuh perihal tentang kelahiran Sultan Iskandar Muda yang dilatari dengan kejadian yang aneh dan pelbagai petanda. Hidup Sultan Iskandar Muda banyak dirungkaikan dari segi kehebatannya dari zaman kanak-kanak hingga dewasa dengan munculnya banyak watak lain dengan dalam peristiwa yang tertentu. Selain itu, hikayat ini juga ada menceritakan kisah perlantikan Sultan Aceh yang saling bertukar takhta atas sebab pemerintahan yang tidak telus dalam hal istana dan hak rakyat jelata. Selanjutnya, Hikayat Aceh juga banyak memerihalkan keindahan dan kekayaan sumber alam semula jadi serta galian yang terdapat di sekitar kawasan negeri Aceh. Aceh juga digambarkan sebuah negeri yang mempunyai tangan pertukangan yang baik yang mampu membangun seni bina yang baik dari segi bangunan istiadat agama iaitu masjid yang digambarkan masjid kedua terbesar selepas Masjidil Haram di Mekah. Akhir pada hikayat ini diceritakan tentang peperangan antara kerajaan negeri Aceh dengan Kerajaan Johor yang disebabkan oleh penyelewengan hulubalang negeri Aceh yang membelakangkan perintah Sultan Aceh.
4.0 ISI DAN MESEJ DALAM HIKAYAT ACEH
4.1 MITOS ASAL USUL RAJA-RAJA ACEH
Pada awal pembukaan dalam hikayat Aceh, pengarang menyelitkan unsur mitos yang menceritakan tentang mitos asal usul raja-raja Aceh. Pengarang menceritakan dengan jelas tentang hidup dan peristiwa yang terjadi kepada beberapa raja-raja Aceh. Unsur mitos ini dikaitkan dengan tiga orang raja iaitu Raja Indera Syah, Raja Syah Muhammad dan Raja Syah Mahmud. Mitos Raja Indera Syah menceritakan peristiwa dia dibawa berjumpa dengan Raja Cina. Raja Cina menyediakan sebuah istana yang sangat indah dengan halaman mahligai yang dilengkapi dengan dayang-dayang dan Raja Indera Syah mendiami istana ini dengan seluruh kaum kerabatnya. Contoh peristiwa ini boleh dilihat pada petikan berikut:
Maka
Raja Indera Syah pun dibawa oranglah kepada raja Cina. Maka dipermulia raja
Cina akan dia dan diberikannyalah yang ditinggalkan Raja Iskandar itu. Maka
disuruh raja Cina perbuat sebuah istana di halaman maligai. Maka diberikan raja
pupal akan Idera Syah. Maka Indera Syah duduk sekelamaannya dengan segala
inangda kakandanya dan segala dayang-dayang mengadap dia.
Mitos yang berlaku pada Raja Syah Muhammad pula menceritakan tentang perkahwinannya dengan seorang Puteri Dewi Indera yang berasal daripada keturunan bidadari yang datang daripada buluh betong. Buluh betong itu dikerat oleh Raja Syah Muhammad dan muncul seorang anak bidadari yang mempunyai rupa paras yang sangat cantik dan peristiwa itu diteruskan dengan perkahwinan antara Raja Syah Muhammad dan Puteri Dewi Indera. Namun mitos perkahiwnan Raja Syah Muhammad ini diakhiri dengan kematian isterinya Puteri Dewi Indera atas kesilapan Raja Syah Muhamad sendiri. Hal ini dibuktikan melalui petikan berikut:
Maka hairan Raja Syah Muhammad melihat dia. Maka
disuruhnya kerat buluh itu dan disuruh belah. Maka dengan takdir Allah Subhanahu
wa Ta’ala maka keluarlah dari dalam buluh seorang perempuan daripada anak
baludari, terlalu elok rupanya. Maka ada mukanyaa seperti bulan purnama dan
lakunya tiada sebagainya. Maka Raja Syah Muhammad pun terlalu sukacita. Maka
puteri itu pun tunduk dengan malunya kerana melihat Rja itu. Maka Raja Syah
Muhammad pun berkata kepada tuan puteri itu, “Hai tuan puteri, mengapa tuan
malu melihat hamba? Telah dilahirkan Allah Subhanahu wa Ta’ala hari nin
pertemuan tuan puteri dengan hamba hendak menyatakan pertemuan kita yang batin
itu.” Maka tuan puteri itu pun disuruh Raja Syah Muhammad buatkan ke atas gajah
ringga kelambu serta diirinkan segala dayang-dayang.
(Halaman 2)
Kata yang berceritera: Maka pada tubuh antara bawah dagu kanan puteri itu sehelai roma amat panjang | lagi amat putih. Apabila terlihat Raja Syah Muhammad kepada Roma itu tiada suka hatinya. Maka suatu hari kata Raja Syah Muhammad akan Puteri Dewi Indera, “Hai tuan puteri, mari kita bantun roma yang dibawah dagu kita itu kerana pada penglihat hamba tiada baik.” Maka sahut Tuan Puteri Dewi Indera, “Tuanku, jika roma hamba ini berbantun daripada tubuh hamba nescaya datanglah perceraian antara kita kedua.” Demi didengar Raja Syah Muhammad kata Tuan Puteri Dewi Indera demikian itu maka berdiam dirinya.
(Halaman 4)
Mitos Raja Mahmud pula menceritakan kisah pertemuannya dengan seorang puteri atas rancangannya sendiri. Peristiwa ini berlaku apabila Raja Mahmud menyembunyikan baju kancuki iaitu baju terbang Puteri Bongsu dan menyebabkan puteri tersebut tidak dapat kembali ke kayangan bersama saudaranya yang lain. Akhirnya, Raja Mahmud mengahwini Puteri Bongsu dan mempunyai zuriat bersama. Perkahwinan Raja Mahmud dan Puteri Bongsu mempunyai syarat iaitu Raja Mahmud tidak akan menyumpah anak mereka sebagai anak peri. Namun ikatan perjanjian itu dimungkiri dan menyebabkan Puteri Bongsu menjumpai baju kancukinya dan terbang ke kayangan meninggalkan Raja Mahmud dan anak mereka. Peristiwa ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut:
Maka berapa lamanya raja itu di sana maka pada suatu
ketika pada malam Ju’mat, bermain raja itu hampir kolam itu. Maka dilihat raja
itu anak baludari turun hendak mandi di kolam itu. Maka masing-masing mereka
itu mengantarkan baju kancukinya seorang suatu tempat di bawah pohon kayu yang
di tebing kolam itu. Maka segala anak baludari itu turun mandi ke kolam
ketujuh-tujuhnya. Maka Raja Syah Mahmud pun hairan melihat hal demikian.
Setelah sudah segala anak baludari itu mandi maka mereka itu pun masing-masing
mengambil baju kancukinya itu. Setelah sudah mereka itu memakai baju maka
mereka itu pun terbanglah ke udara tiada kelihatan.
(Halaman 6)
Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala, berapa
lamanya maka Raja Syah Mahmud pun lupalah akan kata tuan puteri itu. Maka pada
suatu ketika duduk Raja Syah Mahmud itu. Maka anak raja itu lagi kecil duduk di
sisi ayah bondanya. Maka bersenda gurau kedua anak raja itu lalu tersentuh bahu
ayahnya. Maka Raja Syah Mahmud pun amarah lalu menyumpah anaknya, “Hai anak jin
peri, mengapa demikian pekertimu ini?” Maka Puteri Medini Candera menengar |
Raja Syah Mahmud menyumpah anaknya demikian itu terlalu ngeranlah hatinya…
(Halaman 11-12)
4.2 SALASILAH SULTAN ISKANDAR MUDA DARIPADA PIHAK AYAHANDA DAN BONDANYA
Pengarang juga menyelitkan penceritaan berkaitan salasilah keluarga Sultan Iskandar daripada pihak bonda dan ayahandanya.Salasilah keturunan keluarga Sultan Iskandar Muda juga boleh dibuktikan melalui petikan dalam hikayat Aceh seperti berikut:
Kata asal nasab daripada
bundai Seri Sultan | Perkasa Alam Johan Berdaulat itu, bahawa Sultan ‘Inayat
Syah yang kerajaan di Dar al-Kamal itu beranakkan Sultan Firman Syah Paduka
Marhum. Maka Sultan Firman Syah Paduka Marhum itu beranakkan Paduka Marhum
Sayyid al-Mukammil. Maka Paduka Marhum Sayyid al-Mukammil itu beranakkan Paduka
Syah ‘Alam, bundah Seri Sultan Perkasa ‘Alam Johan Berdaulat. Adapun Raja
Muzaffar Syah yang seayah sebundai dengan Raja Munnawar Syah itu beranakkan
Raja Syamsu Syah. Maka Raja Syamsu itu beranakkan Sayyid al-Marhum. Maka Sayyid
al-Marhum itu beranakkan Paduka Marhum. Maka Paduka Marhum itu beranakkan
Marhum Muda.
Kata berceritera: Bahawa
Raja Muzaffar Syah, ayah datu Perkasa ‘Alam daripada pihak ayah itu, raja di
Makota ‘Alam; dan Raja ‘Inayat Syah, yang ayah datu Perkasa ‘Alam daripada
pihak bundai itu, raja di Dar al-Kamal. Maka segala hulubalang yang gagah dan
segala ra’yat yang tiada terhisab banyaknya yang dalam negeri Acheh Dar
as-Salam itu sekaliannya bahagi dua.
4.3 MEMUJA SULTAN ISKANDAR MUDA
Keseluruhan cerita dalam Hikayat Aceh banyak meriwatkan kisah Sultan Iskandar Muda. Dalam Hikayat ini juga banyak peristiwa yang berlaku menceritakan kelahiran Sultan Iskandar Muda yang dilatari dengan petanda dan kejadiaan yang aneh dan perkembangan zaman kanak-kanak yang luar biasa sehingga dewasa. Selain itu, hikayat ini juga banyak membuktikan tentang keperkasaan dan kelebihan luar biasa Sultan Iskandar Muda. Keperkasaan tersebut boleh dilihat pada petikan berikut:
Maka penghulu | pendekar pun segera mengangkat cetai
ke atas menahan palu Johan A’lam itu; maka tatkala dipalu Johan A’lam maka
terbit api tersemburan daripada cetai. Maka daripada darab Palu Johan A’lam itu
maka ranap cetai penghulu pendekar itu hingga sampai palu Johan A’lam itu ke
kepalanya jatuh dengan tengkoloknya. Maka kata penghulu pendekar, “Syabasy
sekali tuanku.” Maka Syah ‘Alam pun tersenyum serta bersabda, “Padalah kamu
bermain.”
(Halaman 202)
4.4 KEKAYAAN SUMBER ALAM DI ACEH
Pengarang menyelitkan tentang kekayaan sumber alam di negeri Aceh pada pertengahan cerita dalam hikayat ini. Kekayaan yang dimiliki oleh negeri Aceh seperti yang diriwayatkan dalam hikayat ini membawa dan hubungan dengan dunia luar. Kekayaan sumber alam dan sumber galian di Aceh dinyatakan pengarang melalui peristiwa kegeringan Sultan Rum (Turki) dan ubat penyakit sultan itu hanya terdapat di Aceh sahaja iaitu bahan daripada minyak kapur barus dan minyak tanah. Kekayaan sumber alam di Aceh dicatatkan pada petikan berikut:
“… | galian mas yang merah yang sepuluh mutu dan tanah
cempaga kudrati yang netiasa mengalir diatas bukit galian itu dan beberapa
daripada kolam minyak tanah kudrati yang tiada lagi berkurang minyaknya
daripada kolam itu; dan yang terbit daripada segala haiwan dalam rimbanya,
daripada paizhar dan jebat dan air madu dan lilin dan daripada isi bukit
rimbanya, beberapa daripada pohon kayu yang dalamnya kapur dan kemenyan yang
putih dan hitam dan daripada pohon kayu khelembak dan gaharu dan cendana dan
damar dan lada dan pipil diraz dan beberapa daripada galian yang lain dan
daripada segala pohon kayu yang lain dari itu…
4.5 KEMASYURAN NEGERI ACEH
Dalam hikayat ini, pengarang ingin menyampaikan mesej berkaitan kemasyhuran yang dimiliki negeri Aceh pada zaman itu. Negeri Aceh bukan sahaja digambarkan subur dari segi hasil tumbuhan alam semula jadi dan kaya dengan sumber galian malahan negeri ini diceritakan mempunyai struktur seni bina yang sangat indah. Negeri ini diceritakan mempunya sebuah masjid yang sangat indah dan luas dan boleh memuatkan ramai jemaah. Masjid ini diceritakan dalam hikayat merupakan masjid yang kedua terbesar selepas Masjidil Haram di Mekah. Keagungan seni bina dalam hikayat ini dapat dilihat pada petikan berikut:
…. | tahu mensifatkan dia dan ada dalam negeri itu
sebuah masjid terlalu besar dan terlalu tinggi kemuncaknya daripada perak yang
berapit dengan cermin balur. Maka ada segala orang yang sembahyang dalamnya
terlalu banyak. Maka pada penglihat kami diperhamba yang mengatasi banyak orang
sembahyang daripada dalam masjid itu hanya dalam masjid yang dalam Haram Mekah
Allah yang Mulia itu jua. Maka masjid yang dalam segala negeri yang lain tiada
ada seperti dalam masjid itu, hanya kebaruhan jua. Maka ada luas masjid itu
seyojana mata memandang dan ada mimbarnya daripada mas dan kemuncak minbar itu
daripada suasa.
4.6 KEJATUHAN PEMERINTAHAN KERAJAAN NEGERI ACEH
Pengarang juga menyampaikan mesej kepada pembaca tentang kejatuhan pemerintahan negeri Aceh disebabkan oleh kepincangan yang dilakukan oleh sultan-sultan yang memerintah pada masa itu. Menurut Hikayat Aceh, takhta kedudukan sultan beberapa kali berganti akibat hal-hal yang memberi kesan negatif pada pemerintahan kerajaan Aceh pada masa itu dan hak rakyat jelata. Peristiwa takhta Sultan Seri Alam dijatuhkan akibat sikapnya yang terlalu boros menggunakan harta kerajaan Aceh pada masa itu. Sikap boros Sultan Seri Alam menggunakan khazanah kerajaan untuk diberikan kepada hulubalang setiap hari dengan memberikan barangan emas, perak dan pakaian yang megah. Hulubalang kerajaan negeri Aceh memikirkan perkara ini akan memusnahkan tampuk pemerintahan jika takhta Sultan Seri Alam diteruskan. Oleh itu, Sultan Seri Alam diturunkan takhta dan bukti perkara ini berlaku dapat dilihat pada petikan berikut:
Setelah
terserahlah kerajaan Aceh Dar ar- Salam dan segala ta’luknya kepada tangan Sultan Seri ‘Alam maka ada sultan itu terlalu murah...
Sultan Seri ‘Alam memberi karunia akan mereka
itu sekalian daripada emas dan perak dan
daripada pakaian yang mulia-mulia… Maka ada sekalian mereka itu jadi kaya
daripada sebab banyak karunia Sultan itu. Maka
berkata Maharaja dan Malik az-Zahir, “ Hai segala tuan-tuan hulubalang, betapa perinya
kita memberikan kelakuan tuan kita demikian itu pada tiap-tiap hari
mengeluarkan arta daripada khazanah kerajaan dan memuangkan d(ia) pada bukan
tempatnya?... Jikalau pada suatu ketika datang musuh dari Barat atau dari Timur
apa kita biayakan pada pekerjaan peperangan itu, kerana tuan kita Sultan Seri
‘Alam ini raja perempuan, kurang budi dan bicara. Melainkan baik-baik fikir
kita segala hulubalang jua sementaran belum pai habis segala arta diberikannya
akan segala raja-raja dan akan segala hulubalang yang di negeri Fansur”.
(Halaman
69-70)
…”
Maka pada bicara kami kedua bahawa tuan kita Sultan Seri ‘Alam ini kita
ma’zulkan…”
(Halaman 70)
Seorang lagi Sultan diceritakan diturunkan takhta disebabkan sikap yang tidak baik dalam pemerintahan dan menyiksa rakyat jelata. Sultan Zainal Abidin digambarkan mempunyai sikap yang suka akan perlawanan manusia yang membawa pembunuhan sesama sendiri. Sultan ini diceritakan memerintahkan rakyat jelata melakukan pertarungan gajah yang mengorbankan banyak nyawa rakyat jelata. Selain itu, Sultan Zainal Abidin juga memerintahkan rakyat jelata untuk bertetak sesama sendiri. Sikap sultan ini membahayakan ramai nyawa rakyat jelata. Oleh itu, Syarif al-Muluk membuat perbincangan dan akhirnya takhta sultan itu diturunkan. Peristiwa ini dapat dilihat daripada petikan berikut:
...
Sultan itu netiasa berangkat keluar bermain di medan berjuangkan gajah menta
dan gajah tidak menta dan beberapa orang mati ditikam gajah itu dan
dilanggarnya Istana Bunga Setangkai lalu runtuh dengan lepaunya…Dan menyuruh
orang bertangkis dan bermain perisai dan menyuruh pendekar Aceh bertetak dengan
pendekar Keling dan beberapa orang mati daripada pendekar Aceh dan pendekar
Keling dan beberapa luka. Dan menyuruh Pigu bertaki-taki dan beberapa pecah
mukanya dan kembung pipinya… Demikianlah netiasa pekerjaan sultan itu…
…
maka berkata-kata segala hulubalang sama sendirinya, “Apa bicara kita akan tuan
kita ini, selangkan lagi kecil sekian hal tuan kita sultan ini akan kita,
jikalau besar betapa ketah? Pada bicara hamba, jikalau tetap ia dalam kerajaan,
nescaya jatuhlah kebinasaan ini ke atas kita sekalian.” Maka kata Syarif
al-Muluk Maharaja Lela, “ Jikalau demikian baik tuan kita sultan ini kita
ma’zulkan.”
4.7 RIWAYAT PEMERINTAHAN SULTAN ALA AD-DIN RI’AYAT SYAH
Pada akhir penceritaan hikayat ini, pengarang cuba menyampaikan semula tentang pemerintahan Sultan Ala ad-Din Ri’ayat Syah dalam kerajaan Aceh. Pada pemerintahan ketika itu, berlaku peristiwa pengkhianatan pembesar istana dengan sultan yang dilakukan oleh Tun Bija ad-Diraja. Tun Bija ad-Diraja diperintahkan membina sebuah kapal oleh Sultan Ala ad-Din Ri’ayat Syah namun Tun Bija melanggar perintah itu malahan berpaling lalu mengakui kedaulatan raja Johor. Peristiwa itu menyebabkan peperangan antara kerajaan Aceh dengan kerajaan Johor yang melibatkan Sultan Iskandar Muda. Akhir hikayat ini, pengarang menyampaikan mesej kepada pembaca tentang tertib penurunan takhta yang berlaku antara Sultan Ala ad-Din Ri’ayat Syah, Sultan Muda dan Sultan Iskandar Muda. Peristiwa ini dapat dilihat melalui petikan berikut:
Maka
kata Panglima Tun Bija ad-Diraja kepada Raja Setia Wangsa, “Hai Raja Setia
Wangsa, kitalah pergi ke Johor. Katakana kata hamba dan kata Merah Miru dan
segala kata raja-raja di gunung di ulu negeri Ghori ini dan segala hulubalang
dan segala ra’yat kecil besar, barang tahu kiranya raja Johor kami sekalian ini
sudahlah paling dari Aceh. Maukah raja Johor berhamba kami sekalian?
(Halaman
249)
5.0 TEKNIK KEPENGARANGAN
Hikayat Aceh merupakan antara karya yang menjadi kebanggaan ramai kerana hikayat ini tergolong dalam karya agung sejarah dan kesusasteraan Melayu yang lahir pada zaman wacana ilmu. Aceh merupakan pusat tamadun Melayu-Islam yang besar dan kuat selepas kejatuhan kerajaan Melaka pada tahun 1511. Oleh sebab bahagian awal dan bahagian akhir naskah ini telah hilang, nama pengarang dan tarikh sebenar karya ini ditulis tidak dapat dipastikan. Namun ada yang menganggarkan bahawa hikayat ini telah dikarang pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda, sekitar tahun 1606 hingga 1636. Pengarang dianggap sebagai pengarang pertama dalam historiografi tradisional Melayu yang menggunakan tarikh dalam karyanya. Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan contoh ayat:
“Maka ada Sultan ‘Ali Ri’ayat Syah anak Sultan ‘Ala
ad-din Ri’ayat Syah dalam takhta kerajaan Aceh Dar as-Salam dulapan tahun maka
hilang sultan itu pada tarikh sembilan ratus sembilan puluh empat tahun”
Hikayat ini dihasilkan berdasarkan edisi asal dalam bahasa Belanda yang dikemukakan oleh Pengkaji Teks ini sebagai disertasi untuk memperoleh Ijazah Doktor Persuratan daripada Universiti Leiden, Belanda pada tahun 1959. Edisi terbaharu ini telah mengalami beberapa perubahan dan penambahbaikan yang besar dan penting, terutama pada bahagian pengenalan dan catatan teks. Edisi ini juga memuatkan naskah jawi yang tersimpan di Perpustakaan Leiden, Belanda, yang digunakan sebagai teks dasar kajian ini.
Hal yang sangat menarik tentang hikayat Aceh ialah ia dikarang dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Aceh atau bahasa Arab walaupun dikatakan pengarang mengetahui bahasa-bahasa tersebut. Di dalamnya pembaca dapat melihat sejarah kebesaran kerajaan Melayu-Islam Aceh, perhubungan Aceh dengan negara luar, khususnya dari dunia Asia-Barat, pertembungannya dengan kuasa-kuasa luar dari Eropah terutamanya Portugis dan Belanda, serta perkembangan Islam di negeri tersebut.
Hikayat Aceh merupakan sebuah hasil karya sastera Melayu lama yang unggul. Hikayat ini mengandungi banyak ciri-ciri sastera antaranya mitos, unsur epik dan sebagainya. Hikayat ini merupakan sebuah epik Melayu yang lahir pada zaman kegemilangan masyarakat Melayu tradisional. Pengarang dilihat sering memaparkan unsur-unsur estetika dalam Hikayat Aceh. Perkataan estetika dalam bahasa Yunani ialah “aesthesis” yang bermaksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi membawa maksud kepekaan manusia terhadap sesuatu gaya penulisan. Estetik juga boleh didefinisikan sebagai persepsi pancaindera, iaitu merupakan istilah estetika yang digunakan untuk kajian falsafah.
Estetika secara umumnya bermaksud keindahan. Oleh sebab itu, estetika merupakan satu cabang yang sangat dekat dengan falsafah seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni dan keindahan. Apabila dilihat dari konsep yang berkaitan dengan karya, kita dapat mengaitkan unsur ini dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni. Secara umumnya, estetika dikaitkan dengan karya seni manusia atau mengenai alam semesta.
Salah satu unsur estetik yang kerap digunakan oleh pengarang ialah unsur personafikasi. Personifikasi disebut perorangan kerana ia membandingkan sesuatu benda, keadaan dan peristiwa dengan sifat-sifat manusia. Personifikasi juga selalu didefinisikan sebagai pemberian sifat manusia kepada objek. Unsur personafikasi yang dapat dilihat dalam karya Hikayat Aceh ialah:
“Ali
ke gunung yang melambai bernama Serokan Jamil itu dan kelihatanlah ‘alam dan panji-panji segala hulubalang
Aceh.”
Dalam ayat di atas, pengarang telah menggunakan kata kerja melambai yang dilambangkan sebagai unsur personafikasi kepada gunung. Gunung merupakan kata nama yang tidak bernyawa, tetapi diberi sifat manusia kepadanya. Unsur ini digunakan untuk menunjukkan keindahan bahasa.
Hiperbola juga turut digunakan dalam hikayat ini. Perkataan ini berasal dari perkataan Latin “ballein” yang bermaksud melemparkan. Hiperbola bermaksud sesuatu perkara itu diceritakan secara berlebih-lebihan. Tujuan utama penggunaan gaya bahasa ini adalah untuk menekankan keistimewaan sesuatu benda atau perkara. Sebagai contoh:
“Maka
dengan takdir Allah subhanahu wa Ta’ala maka keluarlah dari dalam buluh betung
itu seorang daripada anak baludari, terlalu elok rupanya seperti bulan purnama
dan lakunya tiada sebagainya”.
Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa pengarang ingin menonjolkan kecantikan yang ada pada anak bidadari itu sehingga menekankan bahawa rupanya terlalu indah seperti bulan dan perilakunya cantik dan tiada tandingan.
Tidak dinafikan pengarang sering menggunakan bahasa istana di dalam Hikayat Aceh. Watak-watak di dalam hikayat ini adalah terdiri daripada watak istana yang melibatkan sultan, permaisuri, anakanda, dayang, pembesar, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, penggunaan bahasa istana amat diperlukan untuk mewarnai karya sastera tersebut agar lebih menarik dengan keindahan bahasa istana yang lembut dan berlapik. Penggunaan bahasa istana juga diperlukan dalam karya klasik bagi mengisahkan cerita-cerita yang membabitkan keluarga diraja. Perkara ini dapat dijelaskan lagi menerusi contoh ayat yang dipetik daripada Hikayat Aceh:
“Maka
tatkala baginda itu dikandungkan bonda baginda tujuh bulan maka pada suatu
malam maka bonda baginda pun bermimpi.”
Penggunaan ayat yang panjang juga merupakan salah satu unsur estetika. Ciri ini boleh dilihat melalui beberapa ayat yang terkandung di dalam Hikayat Aceh iaitu :
“Ada
pun Seri Sultan Perkasa ‘Alam Johan Berdaulat itu daripada pihak asal nasab
baginda raja yang mendapat puteri anak baludari yang berdarah putih yang raja
keinderaan itu turun-temurun daripada nasab dan bangsa Raja Iskandar Zulkarnain
dan daripada asal nasab dan bangsa yang daripada puteri baludari yang berdarah
putih yang keinderaan daripada nasab dan bangsa Maha Bisnu yang raja diraja
keinderaan.”
Contoh ayat di atas jelas menunjukkan penggunaan bahasa yang meleret-leret dalam Hikayat Aceh. Ayat yang panjang merupakan satu unsur bahasa yang mampu menjadikan sesebuah karya menjadi menarik.
Selain itu, pengarang turut menitikberatkan aspek bentuk dalam karyanya. Hikayat ini lebih berbentuk cerita iaitu kisah atau naratif. Sastera rakyat berbentuk cerita disebut juga cerita rakyat atau cerita lisan, terdiri daripada beberapa jenis cerita, antaranya cerita lipur lara, cerita teladan, cerita binatang, cerita jenaka, mitos, lagenda dan hikayat. Sastera rakyat berbentuk cerita, mitos, lagenda dan hikayat berbeza daripada cerita-cerita lipur lara, teladan, binatang dan jenaka.
Pengarang juga diihat sebagai seorang yang gemar menggunakan bahasa asing dalam hikayat ini. Hikayat Aceh banyak menerima unsur-unsur bahasa asing antaranya pengaruh bahasa Arab, Belanda dan Sanskrit. Contoh ayat yang jelas menunjukkan penggunaan bahasa Arab ialah:
“Maka
kata Syeikh Ibrahim menyahuti kata hamba itu dengan bahasa Arab : ‘Hakaddza ya
sayyid ra’aitum fi’l-manam?”
Selain itu, Hikayat Aceh turut menerima unsur pengaruh bahasa Sanskrit. Antara contoh perkataan Sanskrit yang terdapat di dalam hikayat ini ialah ‘abintara’ yang bermaksud bentara, ‘astakona’ yang bermaksud bersegi banyak, ‘behena’ yang bermaksud sesuatu yang hebat, ‘dirgahayu’ yang bermaksud panjang usia, dan sebagainya.
Seterusnya, contoh perkataan yang menerima unsur pengaruh bahasa Belanda yang terdapat di dalam Hikayat Aceh ialah ‘logeren’ yang bermaksud menginap, ‘camperen’ yang bermaksud bermalam, ‘hic videtur praeparatie maken’ pula bermaksud di sini bererti membuat persiapan.
Penggunaan kosa kata klasik juga jelas dapat dilihat dalam Hikayat Aceh. Hikayat Aceh sering kali menggunakan kosa kata klasik yang berasal dari Arab, Jawa, Siam, Sanskrit dan lain-lain lagi. Antara contoh kosa kata klasik yang dimaksudkan adalah seperti ‘edan’ ‘kesmaran’, ‘sahaya’, ‘masygul’, dan lain-lain lagi.
Seni pada mulannya adalah proses dari manusia dan sangat sinonim jika dikaitkan dengan ilmu. Dewasa ini, seni boleh dilihat dalam intisari ekspesi dari segi kreativiti manusia. Seni juga boleh disamaertikan dengan sesuatu yang diciptakan manusia yang mengandungi unsur keindahan. Seni sangat sukar untuk dijelaskan dan juga sukar dinilai. Menurut Ki Hajar Dewantara, seni merupakan hasil keindahan sehingga dapat menggerakkan perasaan indah orang yang melihatnya. Oleh itu, perbuatan manusia yang boleh menimbulkan perasaan indah juga dinamakan sebagai seni. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), bahasa didefinisikan sebagai satu sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia iaitu antara seorang individu dengan individu yang lain.
Seni bahasa boleh dikaitkan dengan nilai estetika. Estetika secara umumnya bermaksud keindahan. Oleh sebab itu, estetika merupakan satu cabang yang sangat dekat dengan falsafah seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni dan keindahan. Apabila dilihat dari konsep yang berkaitan dengan karya, kita dapat mengaitkan unsur ini dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni. Secara umumnya, estetika dikaitkan dengan karya seni manusia atau mengenai alam semesta. Antara seni bahasa yang terdapat dalam Hikayat Acheh ialah :
Penggunaan bahasa merupakan penggunaan kata panggilan atau perkataan lain yang digunakan oleh golongan di raja. Watak-watak yang kebiasaannya akan menggunakan bahasa istana adalah watak utama di dalam karya bahasa Melayu klasik yang terdiri daripada watak istana yang melibatkan sultan, permaisuri, anakanda, dayang, pembesar, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, penggunaan bahasa istana amat diperlukan untuk mewarnai karya sastera tersebut agar lebih menarik dengan keindahan bahasa istana yang sangat lembut dan berlapik. Penggunaan bahasa istana juga diperlukan dalam karya bahasa Melayu klasik bagi mengisahkan cerita-cerita yang membabitkan keluarga diraja.
b) HIPERBOLA
Hiperbola bermaksud penggunaan bahasa kiasan secara berlebih-lebih daripada maksud yang sebenar. Jenis gaya bahasa ini sering digunakan untuk meluahkan perasaan mahupun tanggapan secara melampau. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), hiperbola bermaksud ungakapan atau pernyataan kiasan secara berlebih-lebihan atau dibesarkan untuk memperoleh kesan tertentu dan tidak bertujuan untuk ditafsirkan secara harfiah.
c) SIMILE
Simile adalah kiasan yang membandingkan sesuatu hal dengan hal yang lainnya dengan menggunakan kata penghubung atau kata pembanding. Kata penghubung yang digunakan contohnya seperti, bagaikan, bak, layaknya, laksana, dan lain-lain.
‘Maka
dengan takdir Allah Subhanu wa Ta’ala maka keluarlah dari dalam buluh itu
seorang perempuan daripada anak baludari, terlalu elok rupanya. Maka ada
mukanya seperti bulan purnama dan
lakunya tiada sebagainya’.
Dalam contoh ini, penulis membandingkan kecantikan wajah seorang perempuan yang keluar dari buluh seperti bulan purnama. Ini menggambarkan wajah perempuan itu yang sangat cantik.
‘ Maka pada malam itu perang besar terlalu ‘azamat seperti halilintar memelah bunyi bedil daripada dua pihak kota itu dan beberapa daripada orang mati dan luka pada malam itu’.
Berdasarkan contoh di atas, penulis membandingkan bunyi bedil yang dikeluarkan semasa perang itu berlaku diibaratkan seperti bunyi halilintar. Bunyi bedil yang kuat itu terlalu kuat seperti halilintar itu menyebabkan berlakunya kematian dan ada juga yang hanya terluka.
d) ANAFORA
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), anafora didefinisikan sebagai pengulangan kata atau frasa pada permulaan beberapa kalimat atau klausa yang beturut-turut agar memperoleh kesan tertentu. Selain itu, Rahman Shaari (1989, 38) mendefinisikan anafora sebagai pengulangan perkataan atau kalimat beberapa kali oleh seseorang penulis bagi menegaskan sesuatu perkara. Berdasarkan Hikayat Acheh yang telah dikaji, antara contoh anafora dalam hikayat ini ialah :
Maka ia pun
menangisi anaknya yang kedua itu. Maka ia pun terbanglah ke bubungan istana. Maka
Raja Syah Mahmud pun datang. Maka
katanya akan Raja Syah Mahmud, “Hai raja, tinggallah kita dengan anakda. Maka
hamba kembalilah kepada saudara hamba.”
Berdasarkan contoh di atas, kita dapat lihat perkataan ‘maka’ diulang di setiap awal ayat. Hal ini menunjukkan kehadiran unsur anafora yang diletakkan dalam penulisan hikayat ini. Pengulangan perkataan ‘maka’ sebanyak beberapa kali secara berturutan menunjukkan penegasan kepada ayat tersebut. Pengulangan ini boleh dikatakan berlaku pada setiap permulaan ayat dalam hikayat ini.
e) Pengaruh Bahasa
• Pengaruh bahasa Arab
Pengaruh bahasa Arab meresap ke dalam bahasa Melayu dengan kedatangan Islam ke alam Melayu oleh pedagang dan pendakwah Arab. Hal ini menyebabkan berlakunya penyebaran agama Islam di tanah Melayu. Pengaruh bahasa Arab ini juga turut meresap ke dalam seni tulisan yang ditulis oleh pengarang pada masa itu. Berdasarkan hikayat Acheh yang telah dikaji, penggunaan istilah Arab paling banyak digunakan dalam penulisan hikayat ini. Contohnya :
‘…Setelah kami sebutkan ceritera peri tawsif yang
amat ajaib lagi ta’rif yang amat ghaib tatkala Seri Sultan Perkasa ‘Alam
pada masa kanak-kanak hingga sampai ke baligh’.
Berdasarkan contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa setiap ayat yang digunakan hampir keseluruhan ayat menggunakan istilah bahasa Arab. Ini menunjukkan bahawa kedatangan Islam ke Aceh sangat kuat sehingga telah mempengaruhi seni tulisan di negeri tersebut.
7.0 NILAI BUDAYA
Nilai budaya merupakan perkara yang paling banyak ditonjolkan oleh pengarang dalam sesebuah hikayat. Wan Abdul Kadir (2007) telah mendefinisikan nilai sebagai ukuran yang diberikan oleh seseorang individu tentang sesuatu atau perlakuan baik atau buruk, halus atau kasar, tinggi atau rendah, berasaskan kepada kelakuan yang telah menjadi kebiasaan atau kelaziman yang dikongsi bersama dan telah disahkan oleh masyarakat akan kedudukan nilai itu. Anggota masyarakat dapat menyatakan ukuran nilai dalam menentukan sesuatu atau perlakuan berasaskan kepada pengalaman yang diterimanya melalui proses sosiolisasi.
Kamus Dewan Edisi Keempat, pula mendefinisikan nilai sebagai taksiran harga, harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain, kadar nisbah, sifat ketinggian dan darjat, kualiti, mutu dan taraf. Maksud ini jelas mengambarkan nialai adalah ukuran kepada sesuatu seperti sifat keperibadian yang ada pada individu. Budaya secara umumnya difahami sebagai keseluruhan gaya hidup anggota masyarakat yang meliputi berbagai-bagai aspek kehidupan seperti peralatan, teknologi, pemikiran, nilai, pandangan dunia dan sebagainya. Setiap masyarakat mempunyai budayanya dan budaya itu mengambarkan identiti masyarakat tersebut. Budaya atau kebudayaan berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah yang bermaksud budi pekerti atau akal.Menurut Kamus Dewan (2005), budaya ditakrifkan sebagai kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Budaya juga diklasifikasikan sebagai satu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.Mohd Taib Osman (1988) ada membuat tafsiran mengenai budaya. Menurut beliau, budaya memperlihatkan satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang mampu memenuhi kehendak kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya dengan keadaan sekeliling. Melalui himpunan daya intelektual tersebut masyarakat membentuk nilai yang dapat diterima bersama.Dalam Hikayat Aceh, banyak nilai budaya yang cuba ditonjolkan oleh pengarang. Nilai budaya yang digambarkan oleh pengarang menunjukkan bahawa masyarakat pada zaman itu mempunyai nilai budaya yang tersendiri. Nilai budaya yang dipamerkan ini, memperlihatkan identiti masyarakat pada zaman tersebut. Dalam Hikayat Aceh, terdapat beberapa nilai budaya yang diketengahkan. Antaranya ialah:
Dalam hikayat Aceh, pengarang menceritakan bahawa masyarakat pada zaman tersebut amat berpegang teguh pada ajaran Islam. Pegangan terhadap agama semakin teguh apabila pemimpin pada zaman tersebut bergitu mementingkan ajaran Islam. Pada zaman pemerintahan Raja Johan ‘Alam, telah digambarkan bahawa masjid di Aceh dipenuhi manusia. Tidak pernah ada masjid yang mempunyai bilangan jemaah seramai itu kecuali Masjid Mekkah dan Madinah. Di sini dapat ditegaskan bahawa, solat berjemaah amat ditekankan pada zaman pemerintahan Raja Johan ‘Alam.
Dalam hikayat ini juga diceritakan bahawa raja telah menyeru rakyatnya mendirikan kapal untuk memerangi orang kafir. Raja Johan ‘Alam begitu bersemangat memerangi golongan yang tidak mahu menerima ajaran islam.
b) BUDAYA ADAT PERKAHWINAN
Adat perkahwinan juga merupakan adat yang ditonjolkan dalam Hikayat Aceh. Majlis perkahwinan golongan bangsawan ini dilajalankan dengan penuh meriah dan gilang gemilang. Perkahwinan raja juga dijalankan dengan penuh adat. Sebelum majlis perkahwinan ditetapkan, pasangan mempelai akan melalui adat merisik, meminang, bertunang seterusnya akad nikah dan disudahi dengan majlis persandingan. Raja pada zaman tersebut amat mementingkan adat. Perkara ini dapat dilihat melalui peristiwa Raja Abdul Jalil menghantar sirih bagi menentukan mas kahwin. Tindakan Raja Abdul Jalil telah mendapat teguran daripada raja Syah ‘ Alam. Raja Syah ‘Alam bertanya sama ada Raja Abdul Jalil tahu atau tidak tentang adat raja-raja. Perkara ini membuktikan bahawa, raja-raja dulu amat mementingkan adat dalam perkahwinan. Dalam adat perkahwinan juga, pengantin dihiasi dengan indah. Penganti akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah. Pengantin juga dihiasi dengan perhiasan yang terdiri daripada emas permata. Hal ini digambarkan penulis melalui majlis perkahwinan Sultan Mansur Syah dan Puteri Raja Indera Bangsa. Puteri raja indera bangsa dihiasi dengan hiasan yang sungguh gah.
c) BUDAYA MEMENTINGKAN KEDUDUKAN
Dalam hikayat Aceh juga, pengarang menceritakan bahawa raja zaman tersebut amat mementingkan kedudukan. Perkara ini dapat dilihat pada zaman Sultan Ali Mughayat Syah. Sultan Ali Mughayat Syah amat mementingkan kedudukan. Sultan Ali Mughayat Syah telah menolak pinangan Sultan Ma’arif Syah kerana baginda kurang bangsanya berbanding Sultan Ali Mughayat Syah yang berbangsa keinderaan. Seperti yang diketahui, Sultan Ali Munghayat Syah mempunyai darah keturunan kayangan. Oleh itu baginda menolak pinangan Sultan Ma’arif Syah kerana baginda hanya berdarah bangsawan tetapi tidak mempunyai darah keturunan sakti atau keinderaan. Penolakan pinangan ini menyebabkan berlaku perperangan antara dua kerajaan tersebut.
8.0 PANDANGAN HIDUP
Menurut Mohd Rashid Md Idris et.al (2014), secara umumnya, pandangan hidup merupakan satu konsep mengenai alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Selain itu, aspek ini bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Pandangan hidup merupakan pendapat atau pertimbangan yang dijadikan pegangan, petunjuk dan pedoman hidup di dunia. Pendapat atau pertimbangan ini wujud hasil daripada pemikiran manusia berdasarkan pengalaman sejarah menurut waktu dan tempat hidupnya (Ahmad Jenali, 2008). Menurut Mohd Rashid Md Idris et.al (2014), hampir 800 tahun Hindu- Buddha telah mempengaruhi minda orang Melayu dan dalam tempoh tersebut orang Melayu dibelenggu oleh corak berfikir yang bersifat khayalan dan mitos. Walau bagaimanapun, setelah Islam tersebar di Nusantara, barulah berlaku transormasi yang melibatkan perubahan falsafah hidup, pemikiran dan jiwa orang-orang Melayu.
Pandangan hidup yang terdapat dalam Hikayat Aceh adalah berteraskan ketuhanan yang berlandaskan agama Islam. kepercayaan terdapat kekuasaan. Pandangan ini dapat dilihat dalam peristiwa yang melibatkan Raja Shah Mahmud dan Puteri Bongsu. Dalam peristiwa tersebut, Raja Shah Mahmud telah menasihati Puteri Bongsu yang menangis kerana ditinggalkan oleh saudara-saudaranya angkara Raja Shah Mahmud yang menyembunyikan baju terbang Puteri Bongsu. Petikan di bawah:
Pandangan hidup dalam hikayat ini yang ingin diperlihat ialah terdapatnya pihak tertentu yang menggunakan ilmu-ilmu sihir untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati. Perkara ini dapat dilihat dalam hikayat ini ketika pemerintahan Sultan Ali Ri’ayat Shah yang mempunyai dua saudara iaitu raja di Ghori dan raja di Mughal. Kedua-dua saudara ini iri hati terhadap Sultan Ali Ri’ayat Shah dan merancang untuk merampas tampuk pemerintahan daripada baginda. Dengan itu, dua saudara ini telah menggunakan ilmu sihir terhadap baginda sehingga baginda gering. Ini menunjukkan bahawa terdapat pihak-pihak dalam hikayat ini yang mempercayai kuasa lain selain kuasa Tuhan untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan. Contoh petikan ialah:
“…Hai datu, ada suatu kehendakku pada kamu. Dapatkah kamu mematikan seseorang
dengan sihirmu itu?” Maka sembah datu itu, “Jika dengan berkat daulat tuanku
dapat hasil kehendak tuanku itu.”
Selain itu, pandangan hidup yang terdapat dalam hikayat ini ialah terdapatnya kepercayaan tentang perkara-perkara ghaib seperti jin. Pandangan hidup ini dapat dilihat dalam kisah Raja Shah Mahmud. Antara petikan yang menggambarkan terdapat kepercayaan akan aspek ini ialah:
“…Jika tuan hamba kasih akan hamba maka hamba pintai daripada tuan hamba
jangan kiranya tuan hamba menyumpah
anak hamba anak jin dan anak peri”.
9.0 KONSEP KEADILAN
Persepsi kesetiaan masyarakat tradisional terhadap raja atau sultan jelas dapat dilihat dalam karya-karya sastera tradisional. Konsep keadilan Melayu dibayangkan dengan kata-kata “ raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Konsep taat setia rakyat kepada raja tidak bermakna raja boleh melakukan apa-apa sahaja sesuka hatinya. Mesej ini disampaikan oleh pegarang melalui berbagai caraDalam Hikayat Acheh, pengarang telah menceritakan bahawa Sultan Seri ‘Alam telah menyalahgunakan harta negeri dengan memberi harta-harta tersebut kepada pengikut-pengikutnya. Sikap Sultan Seri Alam ini telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan pembesar-pembesar. Pembesar-pembesar ini akhirnya telah berbincang dan bersepakat untuk menjatuhkan Sultan Seri Alam kerana mereka bimbang kekayaan negeri akan habis disebabkan sikap Sultan Seri Alam yang boros. Selepas Sultan Seri Alam dijatuhkan daripada takhta pemerintahan, Sultan Zainal Abidin telah dilantik sebagai raja yang baru. Namun, Sultan Zainal Abidin turut menyalahgunakan kekuasaan baginda. Pengarang telah menceritakan sikap Sultan Zainal Abidin yang suka bermain gajah dan telah menyebabkan kematian dalam kalangan rakyat. Pengarang juga turut menceritakan tentang kekejaman Sultan Zainal Abidin semasa pemerintahan baginda. Pada akhirnya, para pembesar telah bersepakat untuk menjatuhkan Sultan Zainal Abidin. Secara ringkasnya, Hikayat Aceh banyak menceritakan tentang penyalahgunaan kuasa oleh raja-raja. Ekoran daripada penyalahgunaan kuasa ini, akhirnya zaman kegemilangan Aceh telah jatuh.
10.0 NILAI ILMU
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bahasa Arab, nilai juga diistilahkan sebagai ‘Al-qimah’ yang membawa maksud sebagai harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang buruk atau baik dan betul atau salah. Nilai dan etika masyarakat Melayu dikatakan sangat mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Ilmu pula merupakan hal yang berkaitan dengan pemerolehan ilmu dan usaha menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu merupakan pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Ilmu yang disampaikan hendaklah berfungsi untuk menambah ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan dan lain-lain. Tradisi ilmu Melayu telah mengiktiraf dan menghormati orang yang menguasai ilmu batin (mistik), ilmu ramalan (ilmu spekulatif) dan “ilmu bahasa”. Ilmu dalam karya agung terbahagi kepada empat jenis iaitu ilmu firasat, ilmu perdukunan, ilmu jampi dan ilmu pengasih.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu firasat merupakan pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Ilmu firasat merangkumi tilikan dan ramalan ahli nujum. Sulastin Sutrisno menyatakan bahawa orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, hari atau ketika. Ilmu firasat ini penting kepada pahlawan kerana ia akan membantu mereka menewaskan musuh. Secara umumnya, ilmu firasat terbahagi kepada tiga iaitu ilmu firasat tilik nasib, ilmu firasat mimpi dan ilmu firasat terhadap binatang.
Ilmu firasat tilik nasib dalam Hikayat Aceh dipaparkan dengan jelas berkaitan masa depan yang baik kepada keturunan Raja.
Diceritakan ketika Mansur Syah berumur sepuluh tahun dia pernah mengaji kepada Fakih Khoja Manassih. Fakih ini pada suatu ketika melihat cahaya pada mukanya sehingga ke dada. Fakih berfikir dalam hatinya bahawa putera ini akan mendapat kebahagiaan.
(Hikayat Acheh: 113)
Ketika Abangta Raja Munawwar Syah, yang bertimang-timangan Pancaga, berumur 13 tahun, dia dihantar mengaji dengan Fakih Raja Indera Purba, yang meramalkan putera ini akan mencapai kemajuan yang cepat.
(Hikayat Acheh : Hlm. 194)
Ilmu firasat mimpi pula memainkan peranan penting dalam historiografi Melayu tradisional lain. Dalam Hikayat Acheh, terdapat beberapa kali unsur firasat mimpi diketengahkan oleh pengarang. Kebanyakan firasat mimpi memberi makna kepada kemasyhuran kepimpinan keturunan Raja pada masa akan datang.
(Hikayat Acheh: 116)
Pada ketika yang lain Mansur Syah bermimpi membuang air seni di atas kota biram yang bernama Buruj. Seluruh negeri dibanjiri dan menjadi laut. Gurunya memberitahu erti mimpinya, bahawa dia akan mendapat anak yang akan menjadi raja yang besar.
(Hikayat Acheh : Hlm. 113)
Ketika Abangta Raja Munawwar Syah, yang bertimang-timangan Johan ‘Alam berumur 11 tahun, Syarif al-Muluk menceritakan kepada Seri Raja Khatib perihal mimpinya melihat kerbau mendekati Johan ‘Alam dan berzikir, menari serta menundukkan kepalanya, seakan-akan menjunjung duli Johan ‘Alam. Dia menceritakan hal ini kepada Syeikh Ibrahim (ibn ‘Abdullah asy-Syami), yang mengatakan Johan ‘Alam akan menjadi raja yang besar.
Ilmu firasat terhadap binatang juga terdapat dalam Hikayat Aceh. Hal ini dapat dibuktikan semasa kedatangan orang Portugis berjumpa dengan Raja Munawwar Syah bersama kuda mereka. Kepercayaan mereka bahawa hanya mereka sahaja yang dapat menunggang kuda mereka, namun kepercayaan mereka ternyata tidak benar apabila Raja Munawwar Syah berjaya menunggang kuda mereka dengan mudah. Peristiwa itu menyebabkan seorang yang bernama Syarif Kasim menyatakan bahawa Raja Munawwar Syah akan menakluk semua negeri Melayu dan memerintah masyrik maghrib Dar as-Salam.
(Hikayat Acheh : Hlm. 162)
b) ILMU PERDUKUNAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dukun membawa makna orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh dan pawang. Perdukunan pula merupakan pengubatan cara kampung atau tradisional yang berkaitan dengan ilmu dukun. Kepercayaan masyarakat Melayu pada permulaannya adalah berbentuk animisme iaitu kepercayaan yang menganggap benda atau objek mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Perkara ini dapat dibuktikan lagi dengan wujudnya aktiviti pemujaan dan penyembahan kepada batu, pokok, sungai, gunung dan fenomena yang lain. Kuasa ghaib pula hanya boleh dihubungi oleh orang yang bergelar bomoh atau pawang.
Golongan istana juga tidak terkecuali dalam aktiviti spiritual ini sebelum kedatangan Islam. Dalam Hikayat Acheh, semasa Raja Munawwar Syah berumur empat tahun, nendanya memberikan hadiah gajah yang diperbuat daripada emas. Raja Munawwar Syah sangat gembira. Pada suatu hari semasa baginda menyuapkan makanan ke dalam mulut mainan gajah, baginda menjadi sedih lalu menghempas mainan gajah berkenaan. Baginda beranggapan bahawa mainan gajah berkenaan sakit kerana tidak membuang air. Nenda baginda memujuk baginda dengan berjanji akan membawa mainan gajah berkenaan kepada bomoh untuk diubati. Situasi ini menunjukkan bahawa terdapat ilmu perdukunan yang diamalkan pada waktu tersebut.
c) ILMU JAMPI
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), jampi didefinisikan sebagai kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Jampi juga merupakan sesuatu yang dibaca untuk memberikan kesaktian terutamanya dalam perubatan. Pawang adalah manusia yang luar biasa dan menjadi manusia perantara antara makhluk dengan Khaliq atau ‘supernatural’. Jampi yang dibacakan oleh pawang akan mendapat tempat yang istimewa dan diwarisi oleh orang-orang yang tertentu. Kebiasaannya jampi disampaikan dengan menggunakan bahasa Banjar.
Mana Sikana (1996), mengkategorikan jampi kepada tiga jenis iaitu jampi menolak syaitan, jampi tawar bisa dan jampi pendamping. Jampi menolak syaitan dan pendamping merupakan jampi jenis larangan manakala jampi tawar bisa ialah jenis perubatan. Jampi menolak syaitan diamalkan untuk menghalau jin dan mengubati penyakit yang berkaitan dengan makhluk halus. Jampi tawar bisa pula digunakan untuk mengubati penyakit yang berkaitan dengan kesakitan yang serius seperti dipatuk ular berbisa. Jampi jenis ini dapat digunakan melalui dua cara iaitu sama ada menjampi terus di tempat yang sakit atau melakukan pembacaan jampi ke dalam air.
Jampi pendinding merupakan jampi yang sangat dominan dalam kalangan masyarakat Melayu. Jampi jenis ini dikatakan dipelajari sebagai alat pengebal atau mempertahankan diri daripada perbuatan orang, baik halus ataupun terang. Jampi ini digunakan sama ada dengan cara meminum air yang telah dijampi atau jampi yang telah ditulis di atas benda seperti kertas lalu dipakai sebagai azimat. Perkara-perkara yang berkaitan dengan jampi juga sedikit sebanyak disebut dalam Hikayat acheh iaitu semasa Pencagah berada di Pantai Cuaca. Pencagah dan kawan-kawannya bermain permainan peperangan dan menyerang tentera Kapitan Mur lalu berjaya ditumpaskan. Kapitan Mur telah menyatakan bahawa semua orang perlu belajar dengan pencagah ilmu kebal kerana tiada sesiapa yang cedera kerana ‘doa’ yang dibacakan oleh Pencagah.
Musuh ditawan bersama-sama kapal mereka. Kapitan Mur berkelakar: Tidak seorang pun luka sebab do’a yang dibacakan Pancagah; semua orang perlu belajar dengannya supaya kebal.
(Hikayat Acheh : Hlm. 148)
d) ILMU PENGASIH
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pengasih didefinisikan sebagai ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna dan lain-lain untuk mendatangkan atau membangkitkan raja kasih. Ilmu pengasih digunakan untuk membuatkan seseorang jatuh cinta kepada mengamal ilmu ini. Ilmu ini boleh digunakan melalui banyak cara, namun cara mencalit minyak wangi kepada seseorang merupakan cara yang sering digunakan selain daripada menjampi gambar atau sebagainya.
Harun Daud (2001), ada juga isi mantera, terutama jenis pengasih yang berkaitan dengan unsur alam seperti bintang, bulan dan matahari. Unsur-unsur itu digunakan sebagai kiasan kepada anggota badan pengamal supaya kelihatan cantik. Dalam Hikayat Acheh tidak ada diselitkan sebarang peristiwa atau episod yang berkaitan dengan ilmu pengasih.
11.0 PENUTUP
Hikayat Aceh. merupakan salah satu daripada kesasteraan bahasa Melayu yang ditulis pada masa dahulu. Pengarangnya tidak diketahui. Ia adalah antara yang masih terselamat sehingga hari ini. Hikayat Aceh ditulis untuk mengangkat kebesaran kerajaan Melayu Aceh yang merupakan sebuah kerajaan yang bertamadun. Perkara ini dapat dilihat melalui aspek pemikiran, nilai budaya, pandangan hidup dalam yang diamalkan dalam masyarakat. Pada masa kini Hikayat Aceh menjadi salah satu sumber penting pengkajian bahasa Melayu dan untuk penyelidikan pada masa hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan