Jumaat, 29 Mei 2015

GURINDAM12

1.0       PENGENALAN

Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, merupakan seorang tokoh pujangga melayu yang sangat tersohor. Raja ali haji lahir dalam golongan keluarga bangsawan yang beasal dari pulau penyengat, riau. Beliau merupakan cucu kepada raja haji atau lebih dikenali sebagai marhum teluk ketapang. Pengaruh dan ketokohan raja ali haji dalam bidang keilmuan bermula sejak kecil lagi apabila beliau mendalami ilmu bahasa dan agama di Mekah. Pada zaman pemerintahan raja ali, beliau berperanan sebagai perdana menteri dan penasihat agama, sesuai dengan kebolehan beliau menguasai ilmu usuluddin, nahu tasauf dan fiqh.
Kehebatan raja ali haji sebagai tokoh pujangga Melayu terselah melalui hasil tulisannya. Kearifan beliau tidak terhad kepada ilmu agama sahaja, namun beliau turut menguasai disiplin ilmu yang lain seperti bahasa, ketatanegaraan dan sejarah. Antara karya yang dihasilkan oleh beliau ialah Syair Sultan Abdul Muluk (1847), Bustan Al-Katibin (1851), Thamarat Al-Muhimmah (1857), Mukaddimah Fi-Intizam (1857), Ikat-ikatan Dua Belas Puji (1857), Kitab Pengetahuan Bahasa (1858), Gurindam Dua Belas (1864), Silsilah Melayu dan Bugis (1865), dan Tuhfat Al-Nafis (1865). Meskipun karya-karya tersebut merupakan karya yang mengangkat nama raja ali haji, gurindam 12 juga turut mempunyai kedudukan yang tersendiri.
Gurindam 12 merupakan gurindam yang telah dihasilkan oleh Raja Ali Haji. Gurindam 12 merupakan karya Raja Ali Haji yang besar pengaruhnya kepada masyarakat. Gurindam ini dihasilkan di Pulau Penyengat pada 23 Rejab 1264 Hijrah ketika Raja Ali Haji berusia 38 tahun. Gurindam 12 merupakan gurindam yang membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia mahupun di akhirat. Gurindam 12 mengandungi 12 fasa. Setiap fasa membincangkan persoalan yang berlainan. Antara persoalan yang terkandung dalam gurindam 12 ialah persoalan mengenai akidah, rukun islam, akhlak dan konsep pemerintahan. Walaupun dihasilkan dalam bentuk yang ringkas, gurindam mempunyai daya pemikiran dan falsafah yang tinggi.

2.0       FALSAFAH

Dari sudut etimologi, perkataan falsafah berasal daripada perkataan yunani yang iaitu philo dan sophia. Philo bermaksud cinta manakala sophia bermaksud hikmah. Falsafah dapat didefinisikan sebagai hasrat atau keinginan yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kebenaran serta menghayati kebenaran tersebut. Kamus dewan edisi keempat mentakrifkan falsafah sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain.
            Dalam falsafah terdapat beberapa bidang yang diberi penekanan iaitu etika, metafizik, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Etika merupakan pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Falsafah metafizik memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Sejarah pula persoalan berkaitan dengan masa silam. Bidang sosial adalah gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Ekonomi ialah sistem yang berkaitan pendapatan dan pengurusan harta benda. Kosmologi pula membincangkan situasi persekitaran dan alam sarwajagat. Politik ialah aplikasi dan tujuan pemerintahan sesebuah negara manakala logik pemikiran yang rasional, takulan dan sebab musabab.
            Dalam gurindam 12, pemikiran dan falsafah yang dibawa oleh raja ali haji amat tinggi. Dalam gurindam 12, beliau menekankan falsafah metafizik dan etika. Seperti yang diketahui umum, metafizik merupakan falsafah yang berkaitan ketuhanan manakala etika berkaitan moral, pengajaran dan pendidikan. Dalam gurindam 12, raja ali haji banyak memerihalkan aspek ketuhanan dan aspek etika bagi menjadikannya satu panduan kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan.
            Dalam aspek metafizik, beliau banyak memberikan nasihat tentang agama. Pemikiran raja ali haji terhadap kepentingan taat kepada agama telah dilakarkan dalam gurindam 12. Dalam gurindam ini, raja ali haji menekankan bahawa setiapa manusia perlu taat dan patuh pada agama. Sebagai seorang manusia, seharusnya menjalankan tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangannya. Menjalankan segala suruhan Allah membuktikan kepatuhan manusia sebagai hambanya. Selain patuh kepada suruhan Allah, beliau juga menyatakan bahawa setiap manusia perlu mengenal sang pencipta agar kehidupan ini lebih baik dan terarah. Menurut raja ali haji, jika mengenal sang pencipta maka kita akan melakukan segala suruhan- Nya. Perkara ini dapat dilihat dalam rangkap gurindam berikut:

Barang siapa mengenal Allah s.w.t
Suruh dan tegaknya tiada ia menyalah

Rangkap gurindam ini membawa maksud bahawa jika kita mengenal Allah s.w.t, maka kita tidak akan teragak-agak untuk melakukan suruhan-Nya dan meninggalakan larangan-Nya.
            Gurindam 12 juga membawa pemikiran tentang kesan tidak mematuhi suruhan Allah. Dalam fasa 2, raja ali menceritakan tentang kesan yang terjadi jika seseorang itu tidak solat, berpuasa, tidak menunaikan zakat dan haji. Perkara-perkara yang dinyatakan itu merupakan sebahagian rukun islam. Sebagai seorang yang beragama islam, kita seharusnya melaksanakan rukun islam dengan penuh taqwa. Dalam fasa 2, gurindam ini menegaskan sebagai seorang islam kita mesti melaksanakan segala suruhan agama bagi mencapai keharmonian hidup. Agama juga menjadi panduan kepada seseorang itu menjalani kehidupan yang lebih sempurna.
            Dari aspek etika, raja ali haji menekankan pemikiran tentang budi pekerti, pendidikan dan pengajaran. Dalam gurindam 12, raja ali haji amat menitikberatkan falsafah tentang nilai budi dan akhlak mulia dalam kehidupan. Dalam masyarakat Melayu, nilai budi dan akhlak mulia amat dititikberatkan. Nilai budi bahasa yang ditonjolkan menjadi lambang keperibadian seseorang itu. Bagi menjadi seorang yang bernilai budi tinggi, kita seharusnya perlu mengawal kata-kata, menjaga pandangan, menjaga pendengaran, jaga tangan dan anggotan badan yang lain. Dalam gurindam 12 fasa 3, raja ali haji telah menyampaikan nasihat agar masyarakat mengawal segala anggota badan dan pancaindera agar tidak melakukan perkara yang menyalahi hukum agama. Contonya :
Apabila terpelihara lidah
Niscaya dapat daripadanya faedah
            Dalam rangkap ini membawa maksud masyarakat perlu menjaga pervakapan mereka agar tidak menimbulkan masalah. Hal ini demikian kerana, banyak bicara akan menimbulkan banyak salah faham. Oleh itu, gurindam ini ditulis agar masyarakat menjaga kelakuan mereka sekaligus memaparkan nilai budi yang tinggi.
            Selain itu, gurindam 12 juga membawa pemikiran tentang cara menjalani kehidupan dengan baik. Sebagai manusia, kita memerlukan teman untuk mengisi kekosongan hidup. Dalam gurindam ini, raja ali haji menyatakan cara untuk memilih teman agar tidak tersalah pilih. Dalam kehidupan, teman memberi pengaruh yang besar. Oleh itu, kita seharusnya memilih teman yang baik. Perkara ini dapat dilihat dalam gurindam berikut:

Cahari olehmu akan kawan
Pilih segala orang yang setiawan

Dalam rangkap ini, masyarakat disarankan agar mencari kawan yang setia. Kawan yang setia amat penting kerana ia akan sentiasa bersama dengan kita saat susah dan senang.
Jelaslah bahawa gurindam 12 memaparkan falsafah yang tinggi. Falsafah dan pemikiran yang ditonjolkan dalam gurindam ini menjadi panduan buat masyarakat agar dapat menjalani kehidupan yang lebi harmoni.

3.0       KEPEGARANGAN DAN ESTETIK

Gurindam 12 juga dikatakan karya yang hebat dari aspek kepegarangan dan estetik. Dalam sesebuah karya, estetik dan kepegarangan merupakan dua aspek yang penting dan mempengaruhi kedudukan teks dan seseorang sasterawan. Estetik merupakan aspek yang berhubung kait dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera. Estetik membicarakan unsur keindahan pembinaannya, bahasa dan pengalaman keseronokan membacanya. Kepegarangan pula merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya.

3.1       KEPEGARANGAN

Kepegarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai pengarang. Keperibadian merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Proses pembinaan keperibadian terbayang pada sifat dedikasi, keberanian, bijaksana, inovasi dan perlanggaran yang dilakukan.
            Gurindam 12 dihasilkan oleh Raja Ali Haji pada 23 Rejab 1263 Hijrah di Pulau Penyengat, Riau. Gurindam ini dihasilkan ketika beliau berusia 38 tahun. Pada tahun 1854 gurindam 12 telah diterbitkan dalam Tijdschrtf Van Het Bataviaasch Genootschap no 11, Batavia dengan tulisan Arab dan telah diterjemah dalam bahasa Belanda oleh Elisa Netscher.
Dalam gurindam 12, konsep kepengarangan menjurus kepada keagamaan. Hal ini berkaitan dengan keperibadian raja ali haji yang mahir dalam agama. Seperti yang diketahui umum, raja ali haji merupakan seorang yang pakar dalam ilmu agama. Pengetahuan dan keperibadian beliau yang bergama tinggi mempengaruhi penulisannya. Dapat dilihat nilai kepegarangan dalam gurindam 12 dipengerahui keperibadian raja ali haji yang tinggi ilmu agama dan kedudukan beliau sebagai penasihat agama. Berikut merupakan contoh gurindam yang memaparkan nilai keagamaan :

Barang siapa tiada memegang agama
Sekali-kali  tiada boleh dibilang nama
Barang siapa mengenal empat
Maka ia itulah orang yang ma’rifat
Barang siapa mengenal allah
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah
Barang siapa mengenal diri
Maka telah mengenal akan tuhan yang bahri
Barang siapa mengenal dunia
Tahulah ia barang yang terpedaya
Barang siapa mengenal akhirat
Tahulah ia dunia mudarat.

Dalam gurindam 12 fasa 1 jelas menunjukkan bahawa gurindam ini dihasilkan untuk menyampaikan nasihat tentang agama. Sebagai seorang yang berilmu agama, wajarlah beliau menasihati masyarakat tentang kepentingan beragama. Jelaslah nilai kepegarangan ini dipeengaruhi keperibadian beliau sebagai tokoh agama.

3.2       ESTETIK

Pendekatan estetik ialah menilai teks sastera dengan merujuk aspek keindahan dan kekuatannya. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanafaat serta penikmatan yang mempersona, menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Dalam seni sastera , keindahan berkait rapat dengan kesan pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Keindahan juga terpancar daripada bahasa yang digunakan pengarang.
            Perkataan estetika dalam bahasa Yunani ialah “aesthesis” yang bermaksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi membawa maksud kepekaan manusia terhadap sesuatu gaya penulisan. Estetik juga boleh didefinisikan sebagai persepsi pancaindera, iaitu merupakan istilah estetika yang digunakan untuk  kajian falsafah.
            Estetika secara umumnya bermaksud keindahan. Oleh sebab itu, estetika merupakan satu cabang yang sangat dekat dengan falsafah seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni dan  keindahan. Apabila dilihat dari konsep yang berkaitan dengan karya, kita dapat mengaitkan unsur ini dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni. Secara umumnya, estetika dikaitkan dengan karya seni manusia atau mengenai alam semesta.
            Gurindam 12 mempunyai nilai estetik yang tersendiri. Gurindam 12 itu dikatakan indah kerana dihasilkan dalam bentuk gurindam. Gurindam merupakan bentuk puisi Melayu yang terdiri daripada dua bait. Gurindam dihasilkan untuk menyampaikan nasihat kepada masyarakat dengan cara halus. Penggunaan gurindam itu sendiri telah menjadikan ia begitu indah.
            Dalam gurindm 12, pengarang menggunakan banyak bahasa asing iaitu bahasa arab. Penggunaan bahasa arab ini dipengaruhi oleh kepandaian pengarang dalam bahasa arab. Penggunaan bahasa arab juga berlaku kerana tiada istilah yang tepat untut menyatakan sesuatu perkataan tersebut. Antara penggunaan bahasa arab ialah “ma’rifat” yang membawa maksud zat Allah yang empat. Penggunaan bahasa Arab dapat dilihat dalam petikan yang berikut :
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang ma'rifat

                Nilai estetik dalam gurindam 12 juga dapat dilihat daripada sifatnya yang didaktif. Gurindam 12 merupakan gurindam yang kaya dengan nasihat dan pelajaran. Gurindam 12 merupakan gurindam yang dihasilkan oleh raja ali haji untuk menyampaikan nasihat dan pengajaran kepada masyarakat. Dalam gurindam ini, raja ali haji menyampaikan nasihat tentang kepatuhan kepada tuhan, kehidupan bermasyarakat dan kesan jika melanggar perintah Allah. Perkara ini dapat dilihat dalam petikan gurindam yang berikut:

Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
Itulah landa hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
Menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
Membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
Lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
Lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
Tidak boleh orang berbuat honar.

                Nilai estetik juga dapat dilihat melalui pemilihan kata yang ringkas dan tepat. Gurindam 12 dihasilkan dengan menggunakan pemilihan kata yang ringkas tetapi sarat dengan makna. Berikut merupakan contoh penggunaan kata yang ringkas tetapi mempunyai makna yang mendalam.

Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.

                Petikan gurindam ini, membawa maksud supaya masyarakat menjaga anggota dan pancaindera agar tidak melakukan dosa. Jika gagal menjaga anggota dan pancaindera, kesan yang diterima amat dasyat terutama kepada masyarakat.
  
4.0        PENUTUP
Kesimpulannya, gurindam 12 merupakan hasil karya raja ali haji yang tinggi nilainya. Meskipu telah digarap berabad lamanya, gurindam ini masih digunapakai oleh masyarakat kerana mesej dan nasihat yang disampaikan menjadi panduan kepada masyarakat menjalani kehidupan yang lebih harmonis. Nasihat yang disampaikan juga releven digunakan sepanjang zaman. Gurindam 12 membuktikan bahawa ia sebuah karya yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan