1.0 PENGARANG
NOVEL
Novel “Sandera” merupakan sebuah novel yang berkisarkan sebuah perjuangan.
Novel ini ditulis oleh sasterawan negara iaitu Arena Wati. Arena Wati atau nama
sebenarnya Muhammad Dahlan Bin Abdul Biang (nama di Malaysia) atau Andi Mohalan
Bin Andi Biang (nama di Indonesia) merupakan seorang sasterawan yang dilahirkan
pada 30 Julai 1925. Beliau juga menggunakan nama pena lain iaitu Duta Muda dan
Patria.Arena Wati dan berasal daripada
Kabupaten Jeneponto Makassar, Indonesia. Arena Wati memulakan kerjayanya
sebagai pelaut pada tahun 1943 dan pengalaman beliau inilah yang digunakan
untuk memulakan kerjaya sebagai seorang penulis serta menghasilkan novel untuk
bacaan umum.
Selepas tamat pengajian,
Arena Wati bekerja di sebuah syarikat penerbitan di Singapura, Johor Bharu dan
Brunei. Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah mendapat hak kerakyatan
Malaysia dan bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962 hingga 1974.
Arena Wati juga beralih
secara pentas ke dunia kewartawanan pada tahun 1954 dan menjawat jawatan
sebagai editor di Dewan Bahasa & Pustaka. Arena Wati juga semakin giat
berkarya dan karya yang dihasilkan banyak menerapkan unsur akademik,
imaginatif, mencabar minda dan kritikan . Arena Wati mendapat anugerah
Sasterawan Negara pada tahun 1988.
2.0 PENGENALAN NOVEL SANDERA
Novel “Sandera” merupakan sebuah novel yang berkisarkan sebuah perjuangan.
Novel ini mempunyai tajuk yang membawa makna besar pada keseluruhan penceritaan
novel ini. “Sandera” merupakan perkataan yang berasal daripada Indonesia yang
bermaksud tebusan, tahanan penjara, atau orang yang diculik. Pada mulanya karya
ini tidak diterbitkan dan menjadi simpanan Dewan Bahasa dan Pustakan selama
tiga tahun. Namun, pada tahun 1971 novel ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini juga
pernah dijadikan teks rujukan untuk pelajar aliran sastera. Novel ini
memperlihatkan mesej nusantara yang sangat kuat dari segi persembahan latar
cerita dan pembawaan watak yang merancakkan jalan cerita ini. Malahan Tan Sri
P. Ramlee juga pernah berhasrat mengadaptasi novel ini ke dalam filem kerana
penyampaian mesej novel ini yang melibatkan negara-negara di Nusantara.
Novel berkisar tentang
sebuah kebangkitan rakyat di Nusantara untuk menentang penjajah yang datang
untuk merampas hak rakyat asal dan membuat kucar kacir. Novel ini mempunyai
tiga bahagian iaitu bahagian I “Pelarian”,
bahagian II “Gelombang Pasang” dan
bahagian III “Salah siapa?” serta
novel ini mengandungi 459 halaman. Novel ini juga memberikan panduan dan
nasihat kepada mereka yang hidup selepas merdeka yang membawa mesej agar
generasi kini sentiasa menghargai serta memahami kemerdekaan yang telah
diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu.
3.0 SINOPSIS
NOVEL
Novel ini dimulakan dengan kisah perjuangan oleh seorang wanita yang
mempunyai semangat perjuangan yang sangat kental iaitu Sariyah. Sariyah
merupakan seorang janda kepada Ibrahim seorang pemuda yang lari daripada
keluarganya di Kuala Terengganu. Sariyah pula merupakan seorang wanita yang
berasal daripada Tanah Makassar Indonesia. Hasil perkahwinan antara Sariyah dan
Ibrahim, lahir seorang putera yang diberi nama Busad.
Busad merupakan tahanan
yang akan dihantar ke Tanah Merah sebagai pesalah politik oleh penjajah
Hindia-Belanda. Busad meninggalkan Makassar bersanama Jubir dan di hantar ke
Tanah Merah yang digambarkan seperti sebuah tempat menuju kematian. Sariyah
telah ditangkap oleh marsose setelah Busad hilang dalam kebakaran kapal yang
membawanya ke Tanah Merah.
Kisah kematian isteri
Jusuh iaitu Indon yang merupakan ibu saudara kepada Busad yang berada di Terengganu.
Kematian isteri Jusuh membuatkan dia merasa sebuah kehilangan dan menyebabkan
dia menyesal atas perbuatannya yang suka bermain judi dan suka berfoya-foya.
Akhirnya Busad menjadi seorang usahawan setelah selamar daripada kebakaran
kapal yang dinaikinya menuju ke Tanah Merah. Busad berkahwin dengan Kalsom
iaitu anak perempuan Jusuh dan juga merupakan sepupu Busad sendiri. Perkahwinan
mereka telah diaturkan oleh Jusuh sendiri.
Busad meninggalkan isteri
dan anak dalam kandungan isterinya untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan di
Singapura. Sariyah pula dikhabarkan berada di penjara Karebosi dan menjadi
tahanan yang bertahan untuk tidak menurut arahan daripada Direktor Belanda itu.
Jusuh sedih melihat Kalsom yang selalu bersedih kerana ditinggalkan suami yang
pergi ke Singapura. Jusuh mengambil keputusan untuk pergi ke Singapura untuk
mencari Busad. Jusuh meninggalkan Kuala Terengganu ke pelabuhan Mersing dengan
sebuah kapal payang. Jusuh menuju mersing ke Johor Bharu dengan berjalan kaki
namun Jusuh meninggal dunia di pertengahan jalan kerana pertengkaran dengan
tentera Jepun.
Mahmud pula terlibat
dengan Parti Melayu Bersatu atas dorongan Busad. Keterlibatan Mahmud dalam
Parti Melayu Bersatu merupakan taktik yang diaturkan oleh Busad untuk mendapatkan
kuasa dan hak menuntut kemerdekaan. Mahmud mudah untuk menyesuaikan dirinya
dalam Parti Melayu Bersatu kerana dia merupakan lulusan dalam undang-undang dan
pernah menjawat jawatan sebagai seoran hakim. Tanah Melayu pada masa itu
digambarkan sangat daif dan keperitan yang ditanggung oleh penduduk asal melaui
peristiwa “food control”. Individu
ditegah untuk membawa sebarang bekalan makanan yang masih berada dalam tin atau
masih berbungkus rapi. Makanan yang dibawa daripada mana-mana tempat harus
disertakan dengan surat yang rasmi daripada pihak Food Control bagi setiap bahagian untuk tujuan tertentu.
Pertempuran seorang anak
muda untuk kemerdekaan iaitu Mahadi yang merupakan anak lelaki kepada Jusuh
telah berakhir dengan kematian dalam gerakan menumpaskan geng Kucing Hitam.
Pada masa itu juga Tanah Melayu digemparkan dengan isu Jus Soli yang menyebut tentang hak kerakyatan automatik pada
kelahiran di Tanah Melayu.
Kemenangan 51 kerusi yang
oleh Parti Melayu Bersatu daripada 52 kerusi yang dipertandingkan melibatkan
gerakan Hakim Mahmud. Hakim Mahmud pada masa itu merupakan wakil kepada Parti
Melayu Bersatu dan Zahid sebagai calon yang turut bertanding. Kemerdekaan Tanah
Melayu pada masa itu menggembirakan semua penduduk Tanah Melayu yang juga
diraihkan dengan kejayaan Kadir dan Rustam. Rustam telah beranjak dewasa dan
setampan ayahnya iaitu Busad. Rustam memulakan pengajiannya di sebuah
Universiti seperti yang dihajatkan oleh ayahnya.
Akhir penceritaan novel
ini dikisahkan dengan hal penyelewengan Ismail atau Weh yang menjual tanah
pusaka arwah Haji Karim. Tanah pusaka Haji Karim merupakan hak Busad dan Kalsom
namun Ismail telah menjual tanah itu kepada orang cina. Terjadi pertelingkahan
dan pergaduhan antara Busad dan Ismail. Akhirnya, Ismail tersungkur lemah di
tangan Busad. Busad juga menangkap orang Cina yang berpakat dengan Ismail untuk
diserahkan kepada pihak polis.
4.0 ISI
DAN MESEJ
Dalam novel Sandera, terdapat
beberapa isi dan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang. Secara
ringkasnya, novel Sandera memaparkan kisah kebangkitan masyarakat Melayu
menentang penjajah untuk memerdekakan tanah air.
4.1 Perjuangan Menentang
Penjajah
Secara
keseluruhannya, mesej utama yang cuba disampaikan ialah tentang perjuangan
masyarakat Melayu menentang penjajah. Hampir keseluruhan bab dalam novel ini
menceritakan peristiwa penentangan masyarakat. Berikut merupakan salah satu
peristiwa yang memaparkan penentangan masyarakat.
“Aku, dengan rela hati memasuki perjuangan ini, sejak suamiku masih hidup, dan
melanjutkan hingga sekarang. Tujuannya bukan hanya sekadar kemerdekaan bangsa
kami, tapi juga kemerdekaan kami itu akan kami isi dengan manusia yang
berperkerti baik”
Sandera: 64
Peristiwa di atas
menunjukkan semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh Sariyah. Sariyah
menjelaskan perjuangan yang dilakukannya adalah untuk memerdekakan tanah air.
Antara contoh peristiwa lain ialah:
Di hadapannya sekarang jelas kelihatan tong benzin berdiri di kaki tembok
luar sel-sel para tahanan yang berpenghuni dan yang kosong. “Yah, kalau memang
mesti terjadi, dan sekadar inilah yang dapat kulakukan, oh ibunda tanah
air tercinta; sampai sinilah saham yang dapat kuberikan untukmu!”
Sandera:
127
4.2 Taat Setia Kepada Negara
Selain itu, pengarang juga
cuba menyampaikan mesej tentang taat setia kepada Negara. Watak Sariyah dalam novel Sandera menunjukkan taat
setia yang tidak berbelah bagi
kepada Negara. Sebagai contoh:
“
Ibu tolak tawaran jasa dari saya ?”
“ Aku tolak!’’
“ Tapi dengan itu ibu akan
mati terbakar.”
“ Anakku juga mati
terbakar!”
“ Kau yang berkuasa di
sini. Tapi aku akan lawan. Aku lawan, aku lawan, kataku!” Sebagaimana aku lawan selama ini. Kau tahu? Aku
engkau kurung,
tapi jiwaku tidak! Aku engkau tahan di sini, tapi pengaruhku tidak!”
Sandera: 124
Peristiwa di atas
memaparkan peristiwa di mana Sariyah telah diberi tawaran untuk bekerjasama
dengan pihak Belanda. Sariyah akan dibebaskan jika menerima tawaran itu
tetapi jika dia menolak, dia akan dibakar. Oleh kerana semangat taat setia kepada Negara
yang amat kuat dalam diri Sariyah, dia rela mati terbakar daripada berpaling
tadah.
4.3 Kekejaman Penjajah
Di samping itu,
novel Sandera juga memaparkan tentang kekejaman penjajah. Antara peristiwa yang
berlaku ialah:
“Tidak!” bentak Sariyah kembali. “Aku bukan binatang. Kau boleh memaksa
kuda ke dalam air, tapi kau tidak dapat memaksa kuda minum air.”
“ Tapi aku dapat memaksa
engkau,” kata yang berpakaian preman.
Kini, leftenan itu datang memaksa Sariyah dan menariknya keluar dari bom kereta,dan dibawa ke
belakang kereta kuda itu. Dan kudanya dipasang kembali oleh orang preman itu. Dengan satu tendangan pada
punggung daripada kaki leftenan itu, Sariyah
terhuyung dan dan terjongkok ke muka, kemudian dengan suara berdaulat leftenan
itu membentak, “Letak tangan koe pada lantai kereta.”“Ini yang dapat mengajar
koe, atau anak manis itu akan bersama
koe begini,” kata leftenan itu, dan mengambil dua buah paku dan sebilah tukul
dari dalam peti di bawah tempat duduk kereta itu. Dan dengan tangan leftenan
itu sendiri, dia pakukan kedua-dua belah tangan Sariyah pada lantai kereta.
Sandera: 28-29
Peristiwa di atas
mengisahkan tentang Sariyah yang telah ditangkap kerana dituduh mengetuai pakatan menentang penjajah. Sariyah yang
enggan mengikut tentera Belanda
telah diseksa oleh pihak Belanda. Tangan Sariyah telah dipaku di lantai
kereta kuda oleh leftenan Belanda.
4.4 Ketentuan Jodoh
Selain itu, mesej
sampingan yang cuba disampaikan oleh pengarang ialah tentang ketentuaan jodoh.
Mahmud tidak menyangka bahawa Busad akan menjadi menantunya. Busad adalah
sahabatnya. Daripada pertolongan-pertolongan Busad kepada keluarganya terutama
pada zaman Jepun, tidak terbayang dalam
fikiran Mahmud, bahawa Busad akan menjadi keluarganya.
Sandera: 316
5.0 SENI
KEPENGARANGAN
Novel Sandera merupakan antara karya yang
menjadi kebanggaan ramai kerana novel ini tergolong dalam karya
kesusasteraan Melayu yang lahir pada awal 1970-an dan pada masa itu belum ramai
penulis yang berkualiti seperti Arena Wati. Jika diteliti isi kandungan
Sandera, pengarang dilihat sebagai seorang yang mendalami dan berpengetahuan
mengenai peperangan, sejarah dan politik tanah air. Novel ini banyak
menceritakan kisah kebangkitan rakyat di nusantara menentang penjajahan dari
pihak luar. Kandungan novel ini juga mengandungi panduan dan nasihat kepada
mereka yang hidup selepas merdeka agar menghargai dan memahami kemerdekaan yang
telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu.
Pengarang banyak
menceritakan mengenai peperangan, sejarah dan politik tanah air kerana beliau
telah dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana tersebut. Oleh yang demikian,
Arena Wati menggunakan pengalaman dan pemerhatiannya dalam menghasilkan novel
Sandera. Sandera berkisar tentang kisah perjuangan panjang yang merujuk kepada
pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Bermula dengan watak Busad di
Makassar, Indonesia pada 1939 hinggalah 1967 di Malaysia.
Suatu yang menarik tentang
novel ini ialah watak-watak utamanya merupakan pejuang yang pernah ditahan oleh
pihak berkuasa iaitu Busad (Belanda), Sariyah (Belanda), Mahmud (Jepun), Zahid
(Malaysia sewaktu konfrontasi Malaysia - Indonesia) dan Sapiah (selepas keluar
dari Parti Komunis Malaya).
Novel Sandera merupakan sebuah novel fiksyen tetapi
bergerak di atas galur sejarah memperlihatkan kebijaksanaan Arenawati
mengaulkan fakta dan fiksi menjadi sebuah karya sastera yang mempunyai
keindahan estetika. Pada masa yang sama beliau membentangkan banyak fakta
sejarah yang tidak pernah diperkatakan sebelum ini.
Kekuatan novel Sandera terletak
pada kemampuan pengarangnya yang memberikan pelukisan yang terperinci terhadap
watak dan peristiwa yang melingkunginya. Ini berjaya dilakukan oleh adanya
penggunaan teknik yang berkesan dalam aspek-aspek dialog, imbas kembali, imbas
muka dan sebagainya. Teknik-teknik ini dilihat berjaya menarik minat dan
perhatian pembaca untuk meneruskan pembacaan.
Dalam novel ini, pengarang
banyak menggunakan teknik dialog. Dialog merupakan salah satu bentuk komunikasi
interpersonal. Dialog berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud antara,
diantara, berbicara, bercakap-cakap, bertukar pemikiran dan idea. Dalam erti
kata lain, dialog merujuk kepada pertuturan antara dua watak atau lebih
daripada dua watak. Dialog digunakan oleh pengarang untuk menampakkan karakter
dan memperkaya plot. Selain itu, dialog digunakan bagi mencipta konflik,
menghubungkan fakta-fakta, menghubungkan adegan-adegan dan sebagainya. Antara
dialog yang digunakan dalam novel ini ialah :
“Kau ada anak, Jubir. Kau ada isteri, kau ada tanggungjawab keluarga!”
“Kalau kau
sanggup, mengapa aku tidak?”
“Ada lainnya, Jubir. Sekurang-kurangnya aku
belum ada tanggungjawab keluarga. Ibuku dapat mengurus dirinya sendiri”
“Persetan!” (Hal.2)
Selain itu, pengarang turut mengemukakan teknik imbas
kembali dalam novel ini. Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang
mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya. Peristiwa itu boleh diimbas
kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog
dalaman. Dalam novel ini, perjuangan Busad bukanlah secara militan, ekstrem dan
ikut mengangkat senjata. Busad selalu meletakkan dirinya sebagai orang tengah
iaitu orang bergabung dengan kelompok-kelompok yang mempunyai kepentingan
langsung untuk mencetuskan revolusi menuju kemerdekaan. Teknik imbas
kembali dapat dilihat apabila Jubir mengingat kembali perangai rakannya iaitu
Busad.
Anak muda ini amat
banyak perangainya yang menakjubkan.
Dahulu, Busad anak periang, peramah, manja kepada ibunya. (Hal.4)
Teknik imbas muka pula berlawanan dengan teknik imbas
kembali. Teknik ini merupakan cara pengarang memberikan bayangan awal atau
ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi
watak dalam cerita berkenaan. Teknik ini juga dapat mewujudkan keyakinan dalam
kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku. Hal ini jelas dapat
dilihat berdasarkan contoh ayat:
Busad yakin, besok
ketentuan yang pasti, dia akan menerima surat rasmi, bahawa tempatnya ialah Tanah Merah. (Hal. 6)
Pengarang juga kerap
menggunakan teknik monolog dalaman dalam novel ini. Monolog dalaman merujuk
kepada percakapan, lintasan, atau rintihan dalam hati atau fikiran sesuatu
watak dan tidak diketahui oleh watak-watak yang lain.dalam erti kata lain,
watak akan berkata- kata di dalam hati atau dalam fikirannya sahaja. Perkara
ini dapat dijelaskan lagi menerusi contoh ayat yang dipetik daripada Novel
Sandera:
Hatinya ragu tentang sikap Jubir. Mengapakah Jubir dipindahkan kepadanya,
di saat-saat genting kepada Busad? Sudahkah Jubir termakan gula-gula politik
Hindia Belanda? (Hal.5)
Dalam novel Sandera ini
juga, pengarang dilihat sebagai seorang yang gemar menggunakan ayat yang
panjang dan meleret-leret dalam menceritakan sesuatu perkara. Hal ini dapat
dilihat menerusi watak Sapiah, ibu kepada Busad berfikir akan masa lalunya.
Watak wanita seperti Sapiah merupakan antara watak kuat yang menggambarkan
pengertian Sandera. Dia sanggup menggadaikan kasih sayang terhadap orang yang
dicintai demi kemerdekaan negaranya. Sapiah juga dirujuk sebagai salinan watak
sebenar Shamsiah Fakeh, wanita yang pernah menggemparkan dengan peristiwa
membunuh anak sendiri di hutan ketika menyertai Parti Komunis Malaya (PKM).
Untuk apa dia menegah orang lain berbuat sesuatu demi perjuangan yang maha
besar ini, kalau dirinya sendiri, dengan penuh kesedaran melibatkan diri dalam
gerakan politik yang berbahaya; sayap kiri dan gerakan wanita yang bersikap
non-koperator pula? (Hal. 16)
6.0 SENI
BAHASA
Seni merupakan satu ekspresi yang boleh dilihat dari segi kreativiti
manusia. Seni juga boleh disamaertikan
dengan sesuatu karya atau tulisan yang diciptakan oleh manusia yang mengandungi
unsur keindahan. Seni adalah sesuatu perkara yang sangat sukar untuk dinilai
oleh mata kasar. Seni boleh dikatakan hadir dalam sesuatu karya apabila sesuatu hasil karya itu
dapat menggerakkan perasaan indah kepada orang
yang melihat atau membaca hasil karyanya. Oleh itu, perbuatan manusia yang
boleh menimbulkan perasaan indah juga dinamankan sebagai seni. Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2005), bahasa didefinisikan sebagai satu sistem lambang bunyi atau suara yang dipakai
sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia iaitu antara
seseorang individu dengan individu yang lain.
Seni boleh dikaitkan
dengan nilai estetika. Secara umumnya, estetika boleh juga didefinisikan
sebagai keindahan. Oleh sebab itu, estetika merupakan satu cangan yang sangat
dekat dengan falsafah seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni dan
keindahan. Apabila dilihat daripada konsep yang berkaitan dengan karya, kita
dapat mengaitkan dengan unsur ini dengan karya yang dihasilkan iaitu
penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni. Secara umumnya
estetika dikaitkan dengan karya seni
manusia atau mengenai alam semesta. Antara seni bahasa yang terdapat dalam novel Sandera ialah :
6.1
Pengaruh Bahasa Asing
Peminjaman
perbendaharaan kata asing adalah untuk
memperkayakan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. Peminjaman sesuatu kata
boleh dilakukan secara terus atau melalui penterjemahan sesuatu perkataan atau
konsep asing. Antara sebab bahasa Melayu meminjam perbendaharaan kata asing
adalah untuk menamakan sesuatu benda, konsep, atau fenomena baru. Dalam karya
agung Melayu terutamanya dalam novel Sandera ini, terdapat beberapa pengaruh
bahasa asing, antaranya :
6.1.1 Pengaruh
Bahasa Inggeris
Pengaruh bahasa
Inggeris mula bertapak dalam bahasa Melayu bermula pada abad ke-18. Selepas
perang dunia ke-2, British mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar dalam sistem pendidikan. Berdasarkan novel Sandera yang telah dikaji,
pengaruh bahasa Inggeris ini dapat dilihat daripada contoh berikut :
“Boleh saja orang-orang kriminal
itu dijadikan lembu”.(muka surat2)
Dan
minggu lau-enam hari yang lewat – direktor
penjara datang membawa surat yang
menentukan hidup masa depannya. (muka surat3)
Kemudian
kembali ke Makasar, menjadi lunak dan kian hati-hati. Kerja jadi Land-Assistant. ( muka surat 4 )
Pada sebuah rumah di Jawa Road, Busad bertemu seorang pelarian politik dari tanah Melayu
sejak tahun 1936. ( muka surat 99 )
Mahmud tidak terus ke Johor Sport Club. Askar-askar British, India dan Australia, konvoi
demi konvoi menyeberangi causeway menuju
utara. ( muka surat 107 )
Tetapi ketika memandang ke depan, matanya
tertumbuk kepada satu barricade askar
Inggeris di tengah jalan, dengan bentung guni pasir. (muka surat 113 )
6.1.2 Pengaruh Bahasa Arab
Pengaruh bahasa
Arab mula meresap dengan kedatangan Islam ke alam Melayu. iai kemudiannya
berkembang apabila pihak istana memeluk Islam dan rakyat juga mengikutinya.
Dengan penyebaran agama Islam itu, banyak mempengaruhi bab-bab yang berkaitan
dengan hukum-hukum. Antara contoh yang terdapat dalam novel Sandera yang
menunjukkan tersebarnya agama Islam ialah :
Ayahnya meninggalkan Tanah Melayu kerana
penentangannya kepada politik raja yang selalu mengalah kepada Inggeris, dan
sikap beku daripada mufti yang
terlalu kaku menghadapi cabaran zaman bagi agama Islam. ( muka surat 6 )
“Insya-Allah.
Tapi saya tidak turun di Johor Bharu.” ( muka surat 119 )
6.1.3 Pengaruh
Bahasa Cina
Kebanyakan orang
Cina yang datang ke Tanah Melayu berasal dari daerah selatan ( Hokkien dan
Canton ) . Maka kebanyakan kosa kata yang dipinjam berasal dari dialek bahasa
daerah tersebut. Contoh yang terdapat dalam novel Sandera yang dikaji ialah :
Kalsom datang menatang dulang yang berisi cawan kosong, teko penuh kopi dan
beberapa piring luih-muih Melayu.
6.2 Sinkof
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2005), sinkof bermaksud singkatan kata. Berdasarkan novel
Sandera ini, kebanyakan sinkof digunakan dalam dialog atau perbualan. Antara
contoh penggunaan sinkof dalam novel ini ialah :
“Apa
yang kau dapat, Jubir?”
“Apa kata mu? Soal Jubir berpaling. “ Kau
mau aku…,” Jubir merenung tepat muka Busad, “kau mau supaya aku jadi anjing koperator?” ( muka surat 2 )
“Yah, kau
mau apa?” soal seorang pemuda maju ke muka, menadah dada kepada orang
preman itu. ( muka surat 28 )
6.3 Disfenimisme
Disfenimisme boleh
ditakrifkan sebagai kata-kata kasar yang diungkapkan untuk tujuan yang tertentu.
Berdasarkan novel Sandera ini, antara contoh yang dapat dilihat ialah :
“Persetan!” Jubir menengking. “Macam tak tau saja.” (
muka surat 2 )
Nah, setan-setan pilek, setan-setan
yang tak cukup nafas, terangkan itu kepadaku!” (
muka surat 26 )
“Apa katamu?”
“Weh dan Som kita kahwinkan.”
“Setan!” bentak Jusuh garang
“Kenapa pula setan?”
“ Kau setan betina tua,” Jusuh
tegak dari duduknya. ( muka surat 69 )
6.4 Satira
Satira boleh diertikan sebagai kritikan terhdap sesuatu dengan
membandingkan dengan sesuatu. Perbandingan ini berlaku dalam bentuk sindiran.
Antara contoh daripada novel Sandera ini ialah :
Sorak itu diselang suara caci maki dari rakyat
kepada pegawai-pegawai tinggi bumiputera yang selama ini digelar anjing koperator. ( muka surat 2 )
“ Boleh saja orang-orang kriminal itu dijadikan lembu”. ( muka surat 2 )
6.5
Metafora
Metafora
boleh didefinisikan sebagai Perbandingan di antara perkataan konkrit dan abstrak. Antara contoh
daripada novel ini ialah :
Sudahkah Jubir termakan gula-gula politik Hindia Belanda, dan sanggup menjadi alat
pelentur, untuk menundukkan Busad? ( muka surat 5 )
Malah, di luar pengetahuan Mahmud, ramai di
kalangan pucuk pimpinan Melayu Muda
sudah bersedia memberikan kerjasaman dengan Jepun untuk menghalau Inggeris dari
Malaya. ( muka surat 56 )
6.6 Anafora
Anafora bermaksud
pengulangan perkataan di awal baris. Pengulangan di awal baris berlaku apabila
berlaku perulangan perkataan yang sama dalam baris yang berikutnya. Antara
contoh yang terdapat dalam novel ini ialah :
Dan walaupun orang
Makasar terkenal dengan sikap suka membunuh orang tetapi bukan dengan kegilaan
begitu.
Dan ayahnya, yang
sudah mati akibat sakit pening kepala setelah Perang Dunia Pertama, terkenal
orang baik. ( muka surat 6 )
“ Selamat tinggal
Selamat tinggal Losariku
yang indah
Selamat tinggal riak
pantai dan angina lautku,
Selamat tinggal, warna
senja yang mempesona
Selamat tinggal
pulau-pulauku….” ( muka surat 10 )
6.7 Repitisi
Repitisi boleh didefinisikan sebagai pengulangan perkataan di tengah baris.
Berdasarkan novel Sandera yang dikaji, contoh yang dapat diambil ialah :
Memang ayahnya bukan orang Makasar, bukan orang
Bugis, dia orang datang dari Tanah Melayu. Pun datangnya ke Makasar bukan untuk tidak apa-apa. (muka surat
6)
Guruh di timur laut yang tadi sayup-sayup
menggelugup, sekarang kian
mengguruh, dan awan kian mendung di
pergunungan. Janji hujan bulan Disember kian
dekat. (muka surat 61)
Tujuannya bukan hanya sekadar kemerdekaan bangsa kami, tapi juga kemerdekaan kami itu akan kami isi dengan manusia yang berpekerti baik. (muka surat 64)
6.8 Simpulan
Bahasa
Simpulan bahasa didefinisikan sebagai kata-kata ringkas atau rangkaian
perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu. Simpulan bahasa ini mempunyai
maksud yang tersirat atau tersembunyi bukan maksud secara tersurat dan nyata.
Ringkasnya maksud bagi simpulan bahasa ini berlainan daripada maksud perkataan
yang sebenar. Contoh yang dapat diambil daripada novel Sandera ialah :
“Kalau kau iri
hati kepada mereka, engkau beum terlambat. Tandatangan surat itu Jubir, dan
kau akan bebas.” ( muka surat 2)
“ Lebih baik kau nasihati dirimu sendiri,” Jubir
berkata pahit kepada Busad. “Kau masih muda, belum ada turunan, dan kau anak tunggal dari ibumu, dan ibumu tak
ada suami lagi.” ( muka surat 3 )
Lihat, berapa saja sekolah partikelir yang
langsung daripada bumiputera, sudah gulung
tikar, kerana guru tidak ada. ( muka surat 5 )
7.0 NILAI BUDAYA
Nilai budaya merupakan perkara yang paling banyak ditonjolkan oleh
pengarang dalam sesebuah hikayat. Wan Abdul Kadir (2007) telah mendefinisikan
nilai sebagai ukuran yang diberikan oleh seseorang individu tentang sesuatu
atau perlakuan baik atau buruk, halus atau kasar, tinggi atau rendah,
berasaskan kepada kelakuan yang telah menjadi kebiasaan atau kelaziman yang
dikongsi bersama dan telah disahkan oleh masyarakat akan kedudukan nilai itu.
Anggota masyarakat dapat menyatakan ukuran nilai dalam menentukan sesuatu atau
perlakuan berasaskan kepada pengalaman yang diterimanya melalui proses sosiolisasi.
Kamus Dewan Edisi Keempat, pula mendefinisikan nilai
sebagai taksiran harga, harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain,
kadar nisbah, sifat ketinggian dan darjat, kualiti, mutu dan taraf. Maksud ini
jelas mengambarkan nialai adalah ukuran kepada sesuatu seperti sifat
keperibadian yang ada pada individu.
Budaya secara umumnya difahami sebagai keseluruhan gaya
hidup anggota masyarakat yang meliputi berbagai-bagai aspek kehidupan seperti
peralatan, teknologi, pemikiran, nilai, pandangan dunia dan sebagainya. Setiap
masyarakat mempunyai budayanya dan budaya itu mengambarkan identiti masyarakat
tersebut. Budaya atau kebudayaan berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu
buddayah yang bermaksud budi pekerti atau akal.
Menurut Kamus Dewan (2005), budaya ditakrifkan sebagai
kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Budaya
juga diklasifikasikan sebagai satu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan
tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik,
agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.
Mohd Taib Osman (1988) ada membuat tafsiran mengenai
budaya. Menurut beliau, budaya memperlihatkan satu himpunan kelengkapan
intelektual dan kebendaan yang mampu memenuhi kehendak kemasyarakatan serta dapat
menyesuaikannya dengan keadaan sekeliling. Melalui himpunan daya intelektual
tersebut masyarakat membentuk nilai yang dapat diterima bersama.
Dalam novel Sandera terdapat beberapa nilai budaya yang cuba ditonjolkan
oleh pengarang. Nilai budaya yang disampaikan oleh pengarang ini, menceritakan
keadaan dan suasana masyarakat pada ketika itu.
7.1 Budaya Menguruskan Jenazah
Dalam masyarakat
islam, menguruskan jenazah merupakan perkara yang amat penting dan diambil
berat. Jika berlaku kematian, masyarakat akan segera menyempurnakan mayat
tersebut. Dalam islam, jika berlaku kematian, jenazah hendaklah segera
disempurnakan. Dalam novel ini, pengarang memaparkan nilai budaya melalui
peristiwa kematian isteri Jusoh iaitu Indon. Selepas Indon meninggal dunia,
orang kampung dengan segera datang ke rumah Jusoh untuk menyempurnakan jenazah
Indon.
“ som.. orang
hendak memandikan mayat… menghindar sebentar. ”
“turutlah mek,
hari sudah lengser, masih banyak yang mesti dikerjakan untuk menyempurnakan
emakmu.”
(Sandera ms 37)
7.2 Perkahwinan Antara Saudara
Dalam masyarakat
Melayu perkahwinan merupakan satu perkara yang amat penting. Budaya menyatukan
pasangan dalam kalangan waris terdekat juga merupakan perkara yang sering
dilakukan oleh masyarakat Melayu. Tujuan penyatuan antara ahli keluarga adalah
untuk memastikan harta warisan tidak jatuh ke tangan orang lain. Perkahwinan
antara saudara dapat memastikan harta pusaka khususnya tidak dibahagi kepada
orang yang salah. Perkara ini dapat dilihat melalui watak Bedah yang memaksa
Jusoh menjodohkan Kalsom den Weh.
“ ada baiknya
sekarang kita bicarakan adik-beradik. Weh sudah dekat tujuh belas. Kalsom sudah
enam belas. Baik kita langsungkan kedua-dua anak kita ini kalau sudah meratus
hari Indon.”
(Sandera ms 69)
7.3 Memuliakan
Tetamu
Masyarakat Melayu amat menghargai tetamu. Bagi masyarakat Melayu,
tetamu merupakan anugerah dan rezeki yang dikirimkan oleh Allah untuk mereka.
Oleh itu, masyarakat Melayu akan menghargai setiap tetamu yang datang ke rumah.
Tetamu yang datang akan dilayan dengan sebaik mungkin. Tuan rumah juga akan
memastikan yang tetamu akan selesa di rumahnya. Perkara ini dapat dilihat
melalalui watak Jusoh yang begitu teruja menyambut kedatangan Busad.
“ Ya, tamu dari
jauh. Sediakan makanan yang baik-baik dan tempat tidur juga. Barangkali kalau
tidak ada hotel, dia akan tidur di rumah ini.”
“ …… buat kan nasi
dagang sarapan pagi. Lauknya ikan raya (tongkol). Dan tempat tidur, pasangkan
katil yang ayah buatkan yang belum engkau pakai itu. Letak tilam baru itu yang
tergantung di tengah rumah. Pasang cadar baru itu juga yang kau sulam, dan
bamtal baru juga,” Jusuh terus-menerus memandang muka anaknya yang sudah
berubah kesal dan merah padam itu.
(Sandera
ms 77)
7.4 Adat Bersalaman
Adat bersalaman juga
merupakan budaya yang diterapkan dalam masyarakat Melayu. bersalaman merupakan
cara orang Melayu memaparkan kemesraan dan mengukuhkan ikatan silaturahim.
Namun begitu salam antara lain jantina merupakan perkara yang agak pelik bagi
masyarakat Melayu. orang Melayu begitu menjaga batas hubungan antara lelaki dan
perempuan. Jika ada lelaki dan perempuan bersalaman, itu merupakan perkara yang
sangat aneh dan akan dipandang pelik oleh masyarakat. Perkara ini berlaku
semasa peristiwa Bahar berjumpa dengan isteri Mahmud.
Isteri Mahmud
menghulur tangan dan senyum sambil berkata, “ saya Fatimah.”
Bahar menyambut
tangan yang terhulur itu dengan rasa tertegun. Bukan tidak biasa berjabat
tangan dengan perempuan tetapi ini lazim di kalangan sahabat-sahabatnya orang Cina
dan orang putih. Tetapi tidak pada perempuan Melayu.
(Sandera ms 218)
8.0 Pandangan Hidup
Menurut Mohd
Rashid Md Idris et.al (2014), secara umumnya, pandangan hidup merupakan
satu konsep mengenai alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui
satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu.
Selain itu, aspek ini bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala
permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Pandangan hidup
merupakan pendapat atau pertimbangan yang dijadikan pegangan, petunjuk dan
pedoman hidup di dunia. Pendapat atau pertimbangan ini wujud hasil daripada
pemikiran manusia berdasarkan pengalaman sejarah menurut waktu dan tempat
hidupnya (Ahmad Jenali, 2008). Menurut Mohd Rashid Md Idris et.al
(2014), hampir 800 tahun Hindu- Buddha telah mempengaruhi minda orang Melayu
dan dalam tempoh tersebut orang Melayu dibelenggu oleh corak berfikir yang
bersifat khayalan dan mitos. Walau bagaimanapun, setelah Islam tersebar di
Nusantara, barulah berlaku transformasi yang melibatkan perubahan falsafah
hidup, pemikiran dan jiwa orang-orang Melayu.
Dalam siri novel Sandera, penulis
menyampaikan kisah tentang perjuangan masyarakat dalam menentang penjajah
justeru pandangan hidup yang terdapat dalam karya ini ialah masyarakat yang
perlu berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan.
‘dirinya bukan hak diri sendiri,
bukan hak keluarga, bukan hak anak anak
atau isteri tetapi hak cita-cita perjuangan.’
Petikan tersebut telah menjadi
pegangan bagi beberapa watak dalam novel ini iaitu Busad, Ibrahim dan Sariyah
yang merupakan ibu bapa kepada Busad. Petikan tersebut menggambarkan semangat
dan kesediaan watak untuk memerdekakan tanah air mereka daripada penjajah
sehingga sanggup untuk meninggalkan keluarga dan juga bersedia untuk kehilangan
nyawa. Hal ini demikian kerana, masyarakat di nusantara yang digambarkan oleh
penulis perlu berhadapan dengan kekejaman penjajah terutamanya mereka yang
terlibat dengan pertubuhan-pertubuhan seperti Kesatuan Melayu Muda, Hisbul
Watan dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, pihak yang terlibat dalam
persatuan yang bermotif untuk menjatuhkan penjajah akan menjadi buruan kerana
kebimbangan penjajah terhadap kedudukan mereka di nusantara.
Dalam novel ini, dapat dilihat masyarakat yang sanggup berkorban demi
mencapai kemerdekaan melalui watak Busad. Busad merupakan watak utama dalam
karya ini telah ditangkap, dipenjara dan merupakan salah seorang tahanan yang
akan dihantar ke Tanah Merah iaitu sebuah tempat untuk orang-orang buangan. Hal
ini demikian kerana, Busad merupakan salah seorang pemuda yang aktif dalam
pertubuhan yang menentang penjajah iaitu Inggeris. Selain itu, ketika peristiwa
kejatuhan kuasa Inggeris di Tanah Melayu dan permulaan kemasukan Jepun, ramai
ahli Melayu Muda yang aktif dan merupakan orang yang hebat telah ditangkap.
Keadaan ini telah mewujudkan suasana yang getir akibat penangkapan yang
dilakukan kerana akan menjejaskan gerak kerja mereka. Melihat situasi tersebut,
Busad meninggalkan isteri dan keluarga
di Terengganu selama dua tahun untuk memastikan gerakan menjatuhkan Inggeris
berjalan seperti yang dirancang dan akhirnya perkahwinan Busad berakhir dengan
perceraian. Jelas menunjukkan bahawa perjuangan dalam menuntut kemerdekaan
memerlukan pengorbanan baik dari segi nyawa, keluarga, masa dan juga tenaga.
Selain itu, dalam perjuangan menuntut kemerdekaan,
keberanian merupakan aspek yang penting yang perlu ada dalam diri masyarakat
bagi menggapai cita-cita. Hal ini demikian kerana, dalam perjuangan menuntut
kemerdekaan pelbagai cabaran seperti tekanan pihak Inggeris, penipuan,
penganiayaan dan sebagainya, justeru keberanian merupakan benteng untuk
berhadapan dengan situasi tersebut. Aspek keberanian ini telah ditonjolkan
dalam watak Sariyah dan juga Busad. Sebagai contoh, Sariyah merupakan wanita
yang berani dalam menentang pihak Inggeris bukan sahaja dapat dilihat daripada
aspek pertuturan dan tingkah laku. Sariyah merupakan seorang wanita yang
mempunyai pengaruh yang besar dalam penentangan terhadap penjajah dan ketika
peristiwa penangkapannya, Sariyah tidak gentar ketika berhadapan dengan
serdadu-serdadu Inggeris.
“Hai hantu-hantu
botak...tidak cukupkah dengan membawa serdadu-serdadu untuk menangkap aku, aku
seorang perempuan, kau rampas pula hartaku dan membelenggu aku begini? Aku
bukan kriminal, aku bukan pembunuh dan aku bukan pencuri.”
“ Buat apa engkau
daripada pihak berkuasa tidak berkata terus tentang anakku. Kalau memang
pemerintah tidak menemukannya, mengapa pemerintah malu-malu mengakui perbuatan
dan kelemahan diri. Nah, setan-setan yang tak cukup nafas, terangkan kepadaku”.
(Sandera: 26)
Dalam peristiwa tersebut,
Sariyah dengan berani telah menuntut penjelasan daripada Inggeris mengenai
anaknya iaitu Busad yang dijangka oleh Sariyah dan penduduk sekeliling telah
mati dalam peristiwa kebakaran kapal yang membawa tahanan ke Tanah Merah. Di
samping itu, Sariyah juga berani mempertahankan diri daripada tuduhan yang
dilemparkan oleh penjajah yang menyatakan dia telah menghasut penduduk di
pedalaman agar tidak membayar cukai. Keadaan ini menunjukkan sikap masyarakat
yang perlu menanam sikap keberanian dalam pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi
bagi mendapatkan kemerdekaan.
Seterusnya, sikap kerjasama atau
muafakat perlu dipasakkan dalam jiwa masyarakat dalam penentangan terhadap
penjajah. Hal ini demikian kerana, aspek ini akan menentukan keberhasilan
gerakan dan usaha yang dilakukan untuk menyingkirkan penjajah di nusantara.
Sesebuah masyarakat akan menjadi utuh dan kuat sekiranya ada sikap kerjasama
dan bersatu padu jika dibandingkan dengan masyarakat yang mementingkan diri
sendiri seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing. Dalam
karya ini, sikap muafakat telah dapat dilihat ketika Inggeris gagal
mempertahankan kuasa mereka di Tanah Melayu yang juga menjadi detik kemasukan
pihak Jepun. Dalam peristiwa tersebut, Melayu muda telah mengarahkan
ahli-ahlinya untuk menjalankan tugas di seluruh Tanah Melayu dan juga
Singapura. Ketika itu, ramai ahli-ahli Melayu Muda yang telah ditangkap oleh
Inggeris yang bekerjasama dengan Jepun untuk menjatuhkan pemerintahan Inggeris
termasuk ahli-ahli yang terpengaruh.
Rentetan daripada peristiwa tersebut, mereka yang belum ditangkap oleh
Inggeris seperti Busad, Mahmud Ghani dan Andang telah merancang untuk
memastikan agar ahli Melayu Muda tidak terus ditangkap oleh pihak Inggeris yang
akhirnya menjejaskan gerakan penentangan mereka. Sebagai contoh, Busad dan
Andang telah menjalankan tugas mereka di Singapura, Ghani telah diarahkan ke
Melaka manakala Mahmud ke Johor Bharu.
“Sebelum Karim datang, Mahmud dan Andang sudah menentukan rancangan kerja
mereka. Pertama, berita penangkapan ini mesti disebarkan kepada orang-orang
Melayu Muda...Mahmud sendiri akan bekerja untuk Johor dan Melaka. Andang untuk Singapura”.
(Sandera: 105)
9.0 Nilai
Ilmu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keeempat (2010:1081), perkataan nilai merujuk
kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial, nilai
(value) boleh didefinisikan kepada tiga konteks yang utama, iaitu sebagai sifat
(attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan
kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kualiti dan sebagai ukuran atau
piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga diistilahkan sebagai 'al-qimah'
dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau
diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung
kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang
baik atau yang buruk dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja
merupakan sesuatu penentu bagi barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas
dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.
Pemupukan nilai dalam
masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebagai sebahagian
daripada masyarakat. Masyarakat Melayu cukup mementingkan aspek nilai dalam
kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat dan nilai yang disampaikan
bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan yang murni. Nilai dalam
masyarakat Melayu dapat dipupuk melalui dua pembahagian cara, iaitu formal
(melalui pendidikan formal di institusi pendidikan) dan tidak formal (melalui
persekitaran seperti keluarga, rakan dan masyarakat).
9.1 Ilmu Pertukangan
Dalam novel
Sandera yang telah dikaji, nilai ilmu jelas dapat dilihat pada muka surat 31.
Nilai ilmu yang terkandung adalah ilmu pertukangan iaitu ilmu mengergaji kayu.
Penulis menyelitkan nilai ilmu ini semasa penduduk kampung sibuk membicarakan
tentang konflik yang melanda watak-watak utama yang terkandung dalam novel ini.
Kreativiti penulis jelas kelihatan apabila beliau memasukkan nilai ilmu semasa
mengambarkan keadaan dan suasana penduduk setempat pada ketika itu.
“… Dia cuma berdua
dengan Indon, takkan boleh dibiarkan harta itu dibolot Jusuh,” orang tua itu
bersuara lagi, dan mencapai gergaji,
mengangkat papan yang sudah digaris sifat tadi naik ke atas kuda-kuda, dan mulai memotongnya belah dua.
Sandera :
31
9.2 Ilmu Perkapalan
Selain itu,
penulis juga menyelitkan nilai ilmu semasa peristiwa Busad mengikut sebuah
kapal berlayar. Nilai ilmu yang terkandung semasa peristiwa itu ialah ilmu
perkapalan. Penulis telah mengambarkan dengan jelas cara jurumudi mengemudi
kapal untuk mengubah arah haluan kapal berkenaan.
“Tidak
mengganggu…,” kalimat jurumudi ini putus. Tangannya yang memegang celaga kemudi
merasakan secara instinct gigil
daripada daun kemudi. Dia mengerling ke layar besar, dan dilihatnya pangkal
layar pada tiang agung mengelinding kosong – haluan naik ke mata angin. Maka dengan cekatan dipegangnya dengan kedua-dua
belah tangan hulu celaga kemudi itu, dan kedua-dua belah tapak kakinya tertumpu pada baluk titi kemudi, dan punggungnya lekat pada birai geladak,
lalu memandang ombak yang datang mengangkat buritan, dan sekali gus menarik celaga itu.
Sandera : 43
10.0 PENUTUP
Sandera merupakan sebuah karya yang amat benilai dan perlu dibaca oleh
setiap lapisan masyarakat. Sandera mengajar kita bertapa besarnya pengorbanan
masyarakat dulu dalam memastikan tanah Melayu ini bebas dari penjajahan barat.
Sandera juga mengajar kita erti cinta akan tanah air dimana watak utamanya
sanggup berpisah dengan keluarga demi memastikan negaranya merdeka. Kita
sebagai generasi muda perlu menghargai dan memastikan negara terus selamat.